Rodziah Ismail bercakap kepada Media Selangor selepas perasmian tapak jualan raya KUBIGS di pusat membeli-belah Subang Parade, Subang Jaya pada 18 April 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: 773 individu dapat biaya skim niaga, lepasi sasaran awal

SHAH ALAM, 11 JULAI: Seramai 773 individu menerima manfaat pembiayaan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDI) dalam tempoh enam bulan membabitkan nilai pinjaman RM3.13 juta.

EXCO pembangunan usahawan berkata jumlah kelulusan skim sehingga Jun lalu di bawah Pakej Kita Selangor itu sekali gus mengatasi sasaran awal ditetapkan tahun ini seramai 613 orang.

“Alhamdulillah, sambutan amat menggalakkan walaupun pada awalnya kita menyasarkan kira-kira 600 individu dengan pinjaman RM3.06 juta.

“Penyertaan memang dikhususkan kepada wanita untuk mewakili isi rumah terutama yang terkesan dengan pandemik Covid-19 atau baru menceburi bidang perniagaan,” kata Rodziah Ismail ketika dihubungi SelangorKini.

Difahamkan, majoriti pemohon menjalankan perniagaan makanan selain kosmetik, peralatan bayi dan pakaian.

Menerusi Pakej Kita Selangor, Kerajaan Negeri memberi peruntukan awalan RM10 juta untuk membantu peniaga mendapatkan pelan pinjaman minimum RM1,000 dan maksimum RM5,000 serta boleh memilih tempoh biaya antara enam bulan hingga tiga tahun.

Mereka berminat boleh mendapatkan borang permohonan di cawangan pejabat Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah) atau layari www.hijrahselangor.com dan menghubungi talian 03-55191692 untuk pertanyaan lanjut.


Pengarang :