Penduduk kampung bersama-sama bergotong-royong menjalankan ibadah korban di Dataran Kampung Sungai Chinchin pada 31 Julai 2020. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Ibadah korban di Selangor kekal dilaksana dengan SOP ketat

SHAH ALAM, 15 JULAI: Ibadah korban di Selangor sempena sambutan Aidiladha kekal dilaksana empat hari berturut bermula 20 Julai dengan tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

EXCO hal ehwal agama Islam berkata hanya lima petugas dibenarkan terlibat dalam proses sembelihan tersebut pada satu-satu masa.

“Sebaiknya mereka yang terlibat nanti sudah menerima satu dos vaksin dan patuh SOP untuk mengurangkan jangkitan Covid-19,” kata Mohd Zawawi Ahmad Mughni.

Beliau berkata demikian selepas Program Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas di Restoran D’Rakit Taman Rakyat, di sini, hari ini.

Mohd Zawawi mengagihkan Sumbangan Pek Keperluan Dapur untuk penduduk Taman Sri Andalas. 15 Julai 2021. Foto : Facebook N49 DUN Sungai Kandis.

Mohd Zawawi yang juga Ahli Dewan Negeri Sungai Kandis berkata agihan daging korban pula akan diagih rumah ke rumah dan penerima tidak dibenar hadir ke masjid atau tempat sembelihan.

“Biasanya masjid akan ada senarai penerima, justeru saya nasihatkan mereka yang menerima hanya tunggu di rumah dan tidak perlu datang ke masjid,” katanya.

Hanya tiga premis di Selangor dibenar menjalankan sembelihan ibadah korban iaitu rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang atau kandang ternak berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor (JPVS) dan masjid di bawah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).


Pengarang :