Selangorkini
EXCO Kerajaan Negeri Hee Loy Sian berucap pada majlis Penyerahan Bakul Makanan di Balai Rakyat Kampung Orang Asli Bukit Tampoi pada 21 Mac 2021. Foto NADIAH ZAMLUS/SELANGORKINI
EXCO SELANGOR

EXCO: Orang Asli terima suntikan vaksin selewatnya Ogos ini

SHAH ALAM, 21 JULAI: Orang Asli seluruh negeri akan menerima suntikan vaksin Covid-19 selewat-lewatnya Ogos ini.

EXCO Hal Ehwal Orang Asli Hee Loy Sian berkata berdasarkan rekod terdapat kira-kira 20,000 orang asli termasuk kanak-kanak di 74 kampung seluruh Selangor.

Katanya setakat ini ada diantara mereka telah divaksin sama ada menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan Vaksin Selangor (Selvax).

“Kita akan pastikan semua masyarakat Orang Asli lengkap divaksin pada Ogos atau sekurang-kurangnya menerima vaksin dos pertama,” katanya kepada SelangorKini.

Loy Sian berkata van akan digerakkan ke perkampungan Orang Asli sekiranya mereka mempunyai masalah pengangkutan bagi memastikan tiada yang tercicir mendapat pelalian.

“Wakil rakyat juga diingatkan supaya membuat pemeriksaan kawasan masing-masing, jika ada yang belum dapat vaksin, daftar nama mereka di bawah program Selvax,” katanya.

Pada 19 Jun, Loy Sian memaklumkan Orang Asli seluruh negeri akan menerima vaksin Covid-19 jenis CanSino keluaran China selewat-lewatnya September depan.


Pengarang :