Petugas kesihatan menguruskan jenazah pesakit Covid-19. Foto Facebook KKM
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Proses bina krematorium di Sepang lancar, hampir siap

SHAH ALAM, 24 JULAI: Proses pembinaan pusat krematorium di Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam masa terdekat.

EXCO kerajaan tempatan berkata kerja menyiapkan kompleks pembakaran berbaki antara 10 hingga 20 peratus dan apabila tersedia akan memudahkan urusan mayat mangsa Covid-19 bagi bukan Islam.

“Pembinaan kompleks yang bermula sejak tahun lalu berdepan sedikit kelewatan berikutan kekangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun kelulusan sudah diberi kepada kontraktor untuk menyambung projek terbabit.

“Ia masih dalam proses dan hampir siap, sekarang hanya menunggu untuk membuat sambungan elektrik,” kata Ng Sze Han ketika dihubungi SelangorKini hari ini.

Beliau berkata lawatan ke tapak pembinaan akan diadakan minggu depan dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan projek berkenaan.

Sebelum ini, Sze Han berkata Kerajaan Negeri menyelaras pengurusan mayat mangsa Covid-19 bukan Islam di empat krematorium kendalian pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurutnya, langkah itu bagi mempercepat proses pembakaran mayat dan mengurangkan kesesakan di bilik mayat beberapa hospital di negeri ini.

Setakat ini, empat PBT memiliki kompleks pembakaran iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan Majlis Perbandaran Klang (MPK).


Pengarang :