EXCO Kesihatan Awam, Perpaduan dan Pembangunan Wanita dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud meninjau pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Seri Siantan, Gombak pada 28 Jun 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO saran tambah pegawai perubatan untuk percepat proses vaksin

SHAH ALAM, 9 JULAI: Kapasiti pegawai perubatan perlu ditingkatkan bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin di Selangor, kata EXCO kesihatan awam.

Dr Siti Mariah Mahmud berkata buat masa ini pegawai perubatan sedia ada tidak mencukupi dan perlu ditambah mengikut jumlah vaksin yang diterima.

“Kerajaan Negeri memang sedang dalam usaha untuk menambah pusat pemberian vaksin (PPV) tetapi penambahan ini memerlukan doktor dan jururawat yang berkelayakan.

“Ini kerana menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), lebih empat juta dos akan tiba. Apabila vaksin ada kita perlu menambah pegawai perubatan,” katanya selepas sesi serahan ‘Home Assessment Tools’ di Stadium Malawati semalam.

Mengenai penambahan katil di pekarangan Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, beliau menjelaskan situasi itu hanya sementara untuk pesakit yang sedang menerima rawatan.

“Pesakit tidak dibiarkan terlalu lama dan mereka turut dipantau oleh pegawai perubatan,” katanya.

Pada 29 Jun, Dr Mariah memaklumkan Selangor bakal menerima 4,008,710 dos vaksin iaitu bekalan tertinggi diperoleh berbanding negeri lain.

Jumlah itu diperoleh selepas beliau menghadiri mesyuarat Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF).


Pengarang :