Pengetua Tadika Big Apple Cawangan Kinta Riverfront, Rohani Hasshim (tengah) melakukan aktiviti pembelajaran bersama kanak-kanak di Tadika Big Apple pada 1 Julai 2020. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Galak ibu bapa di kawasan rendah risiko jangkitan hantar anak ke tadika

SHAH ALAM, 28 JULAI: Ibu bapa di kawasan berisiko rendah jangkitan Covid-19 digalak menghantar anak mereka ke Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) supaya perkembangan pendidikan awal golongan itu tidak terganggu.

Setiausaha Persatuan Tadika Islam Malaysia berkata pihaknya percaya pengusaha dan guru tadika mengutamakan aspek tatacara operasi piawai (SOP) di pusat masing-masing bagi mengelak penularan wabak.

“Saya mencadangkan sekiranya kawasan kurang kes Covid-19, ibu bapa boleh benarkan anak ke tadika, mungkin dibuat secara berkala atau berganti-ganti kerana paling penting kanak-kanak dapat bertemu guru.

“Apatah lagi, kanak-kanak sebenarnya tidak boleh kekal lama belajar dalam talian kerana pembelajaran mereka perlu melalui tiga kaedah iaitu visual, auditori dan kinestetik (VAK),” kata Siti Ruzita Ramli.

Beliau berkata demikian pada bual bicara ‘dilema pendidikan prasekolah ketika pandemik’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Media Selangor malam tadi.

Sementara itu, Siti Ruzita berkata ibu bapa perlu bekerjasama untuk memastikan kelangsungan pendidikan anak-anak khususnya dalam tempoh pandemik.

“Usia empat hingga enam tahun adalah waktu emas buat kanak-kanak dan pentingnya guru di samping mereka, justeru ibu bapa merupakan rakan kongsi kepada tadika di waktu pandemik.

“Ibu bapa tidak boleh sekadar memberikan peranti kepada anak mereka untuk belajar secara dalam talian, sebaliknya perlu membimbing dan mengawasi sepanjang masa,” katanya.


Pengarang :