Penjawat awan melakukan imbasan QR SeLangkah sebelum masuk ke dalam pejabat di SUK pada 14 Mei 2020
BERITA UTAMAPILIHAN MINGGUANRENCANA

Gigih perangi Covid-19, SELangkah, Selvax diakui Putrajaya

Lebih awal digunakan daripada MySejahtera untuk pengesanan kontak pesakit Covid-19, aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) akhirnya diiktiraf dapat membantu kuarantin di rumah.

Selain aplikasi Kerajaan Selangor tersebut, timbalan ketua pengarah kesihatan menjelaskan pesakit yang tidak serius boleh memantau kesihatan masing-masing menerusi aplikasi MySejahtera dan e-Covid.

“Bagi kes positif yang tidak bergejala akan diarahkan untuk menjalani pengasingan di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian dengan menggunakan kit penilaian di rumah di aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah,” kata Datuk Dr Chong Chee Kheong pada 24 Julai.

Kenyataan ini sekali gus menjawab kekeliruan berhubung usaha proaktif Kerajaan Negeri yang sentiasa mendahului negeri lain dalam inisiatif membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) membendung wabak.

Vaksin negeri

Program Vaksin Selangor (Selvax), pembelian 2.5 juta dos untuk diberi percuma kepada pekerja dan golongan berpendapatan rendah, juga diiktiraf dalam Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) baru-baru ini.

Usaha membeli vaksin sendiri sejak awal tahun ini dibuat bagi meningkatkan lagi usaha kerajaan pusat yang mensasarkan suntikan kepada 80 peratus daripada kira-kira 6.5 juta penduduk Selangor.

Sejak awal wabak ini, mulai April 2020, Kerajaan Negeri mengambil langkah mengadakan Saringan Komuniti bagi kelompok berisiko tinggi seperti warga emas. Lebih 120,000 penduduk di kawasan panas disaring sehingga Jun tahun ini.

SELangkah dan Saringan Komuniti antara idea penting yang disarankan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) yang ditubuhkan pada 10 Mac 2020, seminggu sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama diumumkan.

Pakej bantuan

Bantuan untuk penduduk juga diumumkan dalam dua pakej Selangor Prihatin pada 20 Mac dan 1 April 2020 yang masing-masing berjumlah RM127.8 juta dan RM272.5 juta.

Fasa satu memberi manfaat, antaranya, kepada:

  • insentif petugas hadapan RM200 seorang
  • bayaran khas peniaga kecil RM500 seorang
  • tangguh bayaran pinjaman usahawan Hijrah
  • wakil rakyat terima tambahan RM30,000
  • tunda tempoh bayaran cukai tanah/petak

Manfaat fasa dua pula, antaranya, kepada:

  • keluarga barisan hadapan RM1.5 juta
  • bantuan keluarga pesakit RM1.8 juta
  • bantuan melalui ketua kampung RM2.48 juta
  • pembelajaran dalam talian RM700,000
  • pengecualian denda cukai taksiran RM12.85 juta
  • tangguh pinjaman pelajaran RM6 juta

[Rujuk grafik pakej Kita Selangor di bawah]

Dalam wawancaranya di majalah Kita Selangor, Dato’ Menteri Besar menjelaskan dua perkara penting yang beliau ambil adalah membantu penduduk melalui pakej rangsangan dan menubuhkan STFC.

“Dua perkara terpenting yang dicetuskan oleh STFC ialah aplikasi penjejakan kontak dan saringan besar-besaran,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

“Hasil daripada saranan mereka, Selangor malah mendahului kerajaan pusat dalam beberapa perkara. SELangkah misalnya, itu idea STFC.”

Diterima ramai

Ketika diperkenalkan, SELangkah begitu mudah diterima ramai. Sebanyak 10,714,879 imbasan dibuat pengguna di 43,414 premis termasuk di luar Selangor yang berdaftar dengan sistem itu sehingga 31 Mei tahun lalu.

Namun kemudiannya kerajaan pusat mewajibkan semua orang dan premis hanya boleh menggunakan MySejahtera. Tetapi Selangor tidak cepat putus asa, ia meningkatkan lagi kemudahan aplikasi SELangkah.

Selain menjejak kontak rapat, mulai Februari tahun ini, SELangkah boleh diguna untuk mengimbas kod QR MySejahtera, mendaftar masuk menggunakan sistem pengesanan lokasi (GPS), menyemak sejarah imbasan dan pengumuman tentang wabak.

Aplikasi itu turut menyediakan kemudahan semakan keputusan Saringan Komuniti dan juga memudahkan penduduk mendaftar suntikan vaksin anjuran negeri, dan membayar bil serta saman agensi negeri. Maklumat berkaitan bantuan kebajikan Kerajaan Negeri juga dimuatkan.

Selain itu, STFC sebagai panel penasihat Kerajaan Negeri yang dipengerusikan oleh mantan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad memperkenalkan program Pencegahan Penularan di Kawasan Titik Panas (POIS).

Kawal kilang

Bertujuan mengetatkan tatacara operasi piawai (SOP) dan membendung kluster tempat kerja khususnya kawasan industri, lebih 1,500 kilang mengguna kaedah POIS yang berjaya mengawal wabak.

Di negeri ini dan Kuala Lumpur, kluster tempat kerja termasuk kilang memang tidak besar seperti tanggapan ramai. Menurut perangkaan KKM, 69 peratus kes datang daripada penularan sporadik di antara individu dari 1 Januari hingga 19 Jun lalu. Penularan dalam pelbagai kluster seperti sekolah, komuniti dan pejabat hanya 31 peratus.

Usaha menyelamatkan nyawa pekerja industri dan sekali gus menggerakkan ekonomi melalui POIS dibuat lebih awal daripada program Penjagaan Kesihatan Awam (Safe @ Work). Kerajaan Negeri melancarkan POIS pada 29 Januari tetapi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) menyediakan kemudahan itu pada 18 Mac tahun ini.

Tidak cukup dengan itu, dalam pakej Kita Selangor 2.0 yang diumum 9 Jun lalu, Kerajaan Negeri membentuk Jawatankuasa Khas Pematuhan Kawalan Kesihatan bagi Industri bagi memastikan POIS terus dijayakan.

Ia diketuai oleh mantan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor Dato’ Dr Khalid Ibrahim dan dianggotai antaranya oleh mantan Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri Dr Ong Kian Ming.

Turut disertai Pengarah Pasukan Petugas Operasi Selangor (STFO) Dr Mohammad Farhan Rusli, jawatankuasa ini juga memastikan kawalan kesihatan di semua kilang dipatuhi dan membantu vaksinasi pekerja industri.

Kit kuarantin

Untuk itu, Kerajaan Negeri memperkenalkan Selvax Industri bagi memudahkan majikan swasta membeli dua juta dos vaksin untuk disuntik secara percuma kepada pekerja.

Untuk Selvax Komuniti pula, seperti diumum 30 Jun lalu, sebanyak 500,000 dos lagi untuk warga emas dan penerima bantuan negeri bawah program Inisiatif Peduli Rakyat (IPR).

Dalam pakej Kita Selangor 2.0 juga, Kerajaan Negeri memperuntuk dana RM1.25 juta bagi menyediakan kit penilaian kendiri ketika pesakit kuarantin di rumah. Kit ini mengandungi oximeter (penyukat kandungan oksigen di dalam badan), ubat, jangka suhu dan pelitup muka KN95.

Sijil digital

Walau dikendali oleh anak syarikat Kerajaan Negeri, rekod penerima suntikan Selvax akan diselaraskan dengan KKM bagi mendapatkan sijil digital pengesahan suntikan vaksin mencegah Covid-19.

Setakat 27 Julai, 125,351 dos telah disediakan bawah program Selvax, yang dibentuk bagi membantu menambah jumlah dos sedia ada yang dirancang oleh kerajaan persekutuan dalam PICK.

Sehingga kini, bagi program vaksin kerajaan pusat, 2.75 juta penduduk Selangor telah menerima dos pertama, sementara 937,000 lagi sudah lengkap dua dos.

Statistik Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) menunjukkan 4.85 juta warga Selangor (daripada lebih 6.5 juta penduduk) telah mendaftar untuk mendapat vaksin.

Pendek kata, Kerajaan Negeri sangat serius dalam usahanya memerangi wabak dan semua program negeri dicipta bagi membantu KKM atau kerajaan persekutuan.

Selangor sedar kuasa, dana dan tenaga utama memang terletak di tangan Putrajaya yang melaksanakan program bawah mandat Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Namun Selangor tidak hanya berdiam diri, ia terus mengorak langkah membantu sekuat kudratnya.


Pengarang :