Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari ketika membuat pengumuman khas dan upacara menandatangani perjanjian kerjasama antara MBI dan Grab Malaysia secara maya di facebook Media Selangor pada 6 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Grab Malaysia taja 9,000 penghantaran percuma di Selangor

SHAH ALAM, 6 JULAI: Sebanyak 9,000 penghantaran percuma ditaja Grab Malaysia dalam membantu peniaga kecil di Selangor selepas berkerjasama dengan Kerajaan Negeri sejak setahun lalu.

Dato’ Menteri Besar berkata Grab Malaysia membantu peniaga bazar Ramadan berniaga secara dalam talian menerusi GrabFood dan ia diperluas pula kepada GrabExpress dengan membantu peniaga kecil meluaskan jangkauan pelanggan dalam memasarkan produk.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada Grab Malaysia yang tampil membantu kita dalam memudahkan urusan pelbagai lapisan masyarakat di Selangor.

“Saya difahamkan yang GrabExpress membantu peniaga kecil dengan menawarkan 9,000 penghantaran percuma bernilai RM225,000 ditaja oleh Grab Malaysia,” kata Dato’ Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung pada majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di antara Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan Grab Malaysia hari ini.

Sebagai penghargaan, katanya, Kerajaan Selangor akan memperuntukkan sejumlah kad SIM percuma kepada rakan penghantar Grab bagi membantu mengurangkan kos operasi mereka.

Pada 8 April tahun lalu, Grab Malaysia dilaporkan bersedia menjayakan bazar Ramadan digital (e-Bazar Ramadan) demi keselesaan rakyat menerusi jalinan kerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Kementerian Wilayah Persekutuan.

Ketuanya Sean Goh berkata pihaknya mahu menyokong dan menggalakkan usahawan menggunakan khidmat pembayaran tanpa tunai serta mengembangkan capaian perniagaan menerusi perkhidmatan GrabPay, GrabFood dan GrabExpress.


Pengarang :