Gambar hiasan perbicaraan di mahkamah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Guna Mykad orang lain dapatkan vaksin, wanita Indonesia dipenjara 12 bulan

JELI, 18 JULAI: Padah menggunakan kad pengenalan (IC) milik wanita warga tempatan untuk mendapatkan dua suntikan vaksin Covid-19, seorang wanita warga Indonesia dipenjara 12 bulan oleh Mahkamah Majistret hari ini.

Majistret Mohamad Nasrudin Mohamed menjatuhkan hukuman itu selepas Yanik Setia Pratiwi, 36, mengaku bersalah melakukan perbuatan itu di Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) pada 13 Jun dan 4 Julai lepas.

Mengikut pertuduhan, Yanik didakwa atas dua pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik Nor Athirah Zaiki, 26, untuk mendapatkan dua suntikan vaksin mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(c) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi setiap kesalahan itu, mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda bagi setiap pertuduhan. Yanik gagal membayar denda tersebut.

Di mahkamah sama suami Yanik, Amiruzaman Ab Rahmad, 59, yang merupakan warga tempatan, juga didenda RM2,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda selepas mengaku bersalah atas dua pertuduhan bersubahat dengan isterinya melakukan perbuatan itu di tempat dan masa sama.

Pertuduhan mengikut Peraturan-peraturan 25(1)(m) Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Lelaki itu membayar denda.

Mengikut fakta kes, kegiatan pasangan suami isteri itu terbongkar selepas Nor Athirah yang berasal dari Perak, membuat laporan polis pada 7 Julai, selepas dimaklumkan sudah melengkapkan dua dos suntikan vaksin Sinovac melalui aplikasi MySejahtera, sedangkan dia masih belum divaksinasi.

Ketika rayuan, mereka yang diwakili peguam Asmadi Abu Bakar memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman denda paling minimum tanpa pemenjaraan.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ho Zee Xing memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada mereka dan orang awam.

-BERNAMA


Pengarang :