Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Dusun Nanding, Nurul Maizatul Akma Rozi (kanan) bersama rakannya Siti Nurfarah Syuhada Zahari (kiri) melakukan ulang kaji pelajaran sempena peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi program DidikTV@NTV7 di kediamannya pada 27 Januari 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Guru berdepan cabaran komunikasi, aplikasi ketika PdPR

SHAH ALAM, 7 JULAI: Warga pendidik berhadapan pelbagai cabaran antaranya masalah komunikasi melibatkan ibu bapa dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Guru Bahasa Inggeris, Nazira Roslee berkata pada peringkat awal PdPR, beliau sering mengalami masalah komunikasi dan penggunaan aplikasi pembelajaran.

Menurutnya, kebanyakan ibu bapa kurang berkomunikasi dengan guru hingga menyebabkan mereka tidak dapat membantu sekiranya anak-anak mengalami masalah dalam pembelajaran.

“Selain itu, cabaran yang terpaksa dihadapi guru juga dari segi penggunaan aplikasi yang sesuai untuk mengajar kerana terdapatnya pelbagai medium.

“Dalam menghadapi PdPR kerjasama antara ibu bapa dan guru amat penting dalam membantu anak murid belajar,” katanya pada program bual bicara ‘PdPR: Cabaran Emosi di Sebalik Layar melalui Facebook Media Selangor.

Nazira turut mengakui tidak semua guru menguasai teknologi terkini dalam pembelajaran dengan menggunakan bahan dan buku secara digital.

“Bagi saya penting setiap guru berkolaborasi satu sama lain dengan membincangkan cara yang sesuai untuk mengajar.

“Apabila bertukar pandangan, ia dapat memberikan idea baharu dalam kalangan guru supaya teknik pembelajaran lebih sistematik,” katanya.


Pengarang :