Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas meninjau proses vaksinasi di Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 9 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Hampir 10 peratus divaksin, negeri yakin ke fasa dua pada September

SEPANG, 9 JULAI: Dato’ Menteri Besar yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata jangkaan itu berikutan suntikan vaksin untuk penduduk negeri ini yang hampir mencecah 10 peratus dalam tempoh beberapa hari.

“Antara ciri untuk ke fasa dua adalah kadar vaksinasi…kita akan cecah 10 peratus vaksinasi kalangan warga dewasa, itu memang saya yakin dalam dua, tiga hari atau minggu depan kita akan capai.

“Kalau ikut rancangan YB Khairy (Jamaluddin), 80 peratus populasi dewasa di Selangor menerima vaksin boleh dicapai Ogos ini. Jadi Ogos atau September kita akan lebih pantas ke fasa seterusnya,” katanya.

Beliau ditemui selepas meninjau pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) bersasar di Taman Murni di sini hari ini.

Amirudin berkata selain suntikan vaksin, terdapat beberapa faktor lain yang perlu diambil kira antaranya jumlah kes baharu dan sistem kesihatan.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin memaklumkan tiga indikator perlu dipatuhi bagi membolehkan peralihan kepada fasa dua PPN.

Indikator itu termasuk purata kes harian Covid-19 bawah 4,000 kes, penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) pada kadar sederhana dan kadar vaksin dua dos mencapai 10 peratus.

Semalam, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan jumlah jangkitan di Selangor dan Kuala Lumpur dijangka meningkat susulan saringan di kawasan PKPD.


Pengarang :