Petugas kesihatan Klinik Selcare melakukan ujian calitan ke atas peserta program Saringan Komuniti Covid-19 di Dewan Alamanda Seksyen 20, Shah Alam pada 28 Mei 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Hampir 47,000 saringan Covid-19 dibuat di Selangor

SHAH ALAM, 17 JULAI: Sebanyak 46,681 ujian saringan Covid-19 dilaksanakan di Selangor dalam tempoh dua minggu sehingga semalam.

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi kenyataan di Facebook berkata saringan itu menggunakan sampel ujian kit pantas antigen (RTK-Ag) dan ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR).

Katanya, sampel saringan menunjukkan tren menaik dalam tempoh 14 hari kebelakangan ini yang mana Selangor mencatatkan jumlah tertinggi diikuti Kuala Lumpur (16,500) dan Johor (10,611).

Manakala, jumlah keseluruhan ujian saringan di Malaysia pula adalah 132,935 iaitu 65,171 (rt-PCR) dan 67,764 (RTK-Ag).

Hari ini, sebanyak 12,528 kes baharu Covid-19 dicatatkan yang mana 54.6 peratus adalah daripada kategori satu (tidak bergejala) diikuti 43.6 peratus kategori dua (bergejala ringan) dan 0.9 peratus kategori tiga (radang paru-paru).

Manakala, 0.4 peratus kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen) serta 0.5 peratus kategori lima (kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan).


Pengarang :