Pegawai perkhidmatan awam persekutuan boleh bekerja dari rumah (BDR) jika mendapat arahan daripada kerajaan atau diarahkan ketua jabatan. Foto: BERNAMA
AGENDANASIONAL

Hampir 50 peratus aduan berkait larangan bekerja dari rumah

PENDANG, 13 JULAI: Aduan membabitkan majikan tidak membenarkan pekerja bekerja dari rumah (BDR), merekodkan hampir 50 peratus aduan yang diterima Kementerian Sumber Manusia menerusi aplikasi ‘Working for Workers’, sejak 1 Feb hingga Ahad lepas.

Timbalan Menterinya Datuk Awang Hashim berkata, sebanyak 2,292 aduan berkaitan isu itu diadukan oleh pekerja, lebih tinggi berbanding isu-isu lain termasuk berkaitan gaji tidak dibayar atau pembayaran gaji lewat (1,414 aduan) dan potongan upah tidak mengikut undang-undang (462 aduan).

“Kita menerima 5,675 aduan dari Februari hingga semalam menerusi aplikasi itu, berkenaan majikan yang mendiskriminasi hak pekerja dan daripada jumlah ini sebanyak 4,105 aduan, telah diambil tindakan.

“Ini tidak patut berlaku kerana kerajaan telah melancarkan Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), yang mana kerajaan membantu majikan membayar gaji pekerja mereka.

“Kita akan teruskan operasi bagi mengesan majikan yang mendiskriminasikan hak pekerja dan akan berkolaborasi dengan agensi serta kementerian terlibat, untuk keluarkan kompaun dan buka kertas siasatan jika perkara ini terus berlaku,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bakul Makanan Parlimen Pendang hari ini.

Sementara itu, Awang berkata sebanyak 806 kertas siasatan dibuka, di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Pindaan) 2019 (Akta 446) terhadap majikan, atas pelbagai kesalahan sejak Februari hingga semalam.

Katanya, daripada jumlah itu sebanyak 130 kes telah didakwa di mahkamah yang melibatkan jumlah denda sebanyak RM487,000, dan sebanyak 408 kes pula dikompaun dengan jumlah keseluruhan RM5,534,000.

“Sebanyak 49 arahan pindah turut dikeluarkan, melibatkan 49 majikan dengan 2,930 pekerja terlibat. Bagaimanapun, setiap aduan akan kita buat siasatan terlebih dahulu, dengan bertemu majikan sama ada aduan diterima betul atau bagi ‘win-win situation’,” katanya.

-BERNAMA


Pengarang :