Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Selangor Saipolyazan Mat Yusop memberikan penerangan ketika sidang media diadakan di Bangunan Zakat Selangor, Shah Alam pada 23 November 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hampir 5,000 mohon bantuan RM500, LZS masih buka pendaftaran

SHAH ALAM, 13 JULAI: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima hampir 5,000 permohonan bantuan sekali bayar RM500 menerusi program Zakat Selangor Peduli (ZSP) setakat kelmarin.

Ketua Pegawai Eksekutif Saipolyazan M Yusop berkata jumlah berkenaan diterima pihaknya selepas permohonan dibuka secara dalam talian sejak 2 Julai lepas.

“Sehingga 11 Julai 2021, LZS menerima hampir 5,000 permohonan ZSP. Buat masa ini, permohonan masih lagi dibuka sehingga peruntukan yang disediakan dipenuhi.

“Pada masa sama, LZS giat mencari penerima bersasar dengan kerjasama persatuan-persatuan untuk memohon ZSP,” katanya ketika dihubungi.

Pada 7 Julai, LZS mempelawa golongan berpendapatan rendah (B40) yang terkesan akibat Covid-19 memohon bantuan sekali bayar berjumlah RM500.

Saipolyazan berkata pihaknya memperuntuk sejumlah RM10.5 juta bagi tujuan tersebut yang dijangka memberi manfaat kepada 15,000 individu dan ketua keluarga yang terjejas pendapatan atau kehilangan pekerjaan akibat pendemik.

Permohonan dibuka secara dalam talian menerusi laman web http://www.zakatselangor.com.my.


Pengarang :