Ir Izham Hashim bercakap kepada media selepas program Sumbangan Korban Negeri Selangor di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 7 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Hanya petugas divaksin dibenar terbabit ibadah korban

SHAH ALAM, 7 JULAI: Kerajaan Selangor menetapkan petugas ibadah korban perlu dalam kalangan mereka yang telah divaksin.

EXCO pertanian berkata pihak bertanggungjawab perlu menyenaraikan nama mereka belum disuntik untuk dimasukkan dalam Program Vaksin Selangor (Selvax) bagi mendapatkannya sebelum terbabit dalam kerja ibadah berkaitan.

“Kita telah minta Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) menghubungi masjid untuk senaraikan nama petugas yang belum divaksin.

“Sekurang-kurangnya mereka sudah disuntik dos pertama. EXCO kesihatan juga dimaklumkan supaya masukkan kumpulan ini sebagai keutamaan,” kata Ir Izham Hashim.

Beliau berkata demikian pada sidang media Program Sumbangan Korban di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini hari ini.

Jelasnya, perkara itu ditekankan bagi mewujudkan suasana lebih selamat ketika negara masih berdepan pandemik Covid-19.

Pada sidang media turut dihadiri Dato’ Menteri Besar dengan diumumkan sebanyak 670 ekor lembu dan 1,000 ekor kambing diperuntuk bagi program berkenaan.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata sumbangan korban berjumlah RM5.05 juta itu ditaja sembilan anak syarikat Kerajaan Negeri.


Pengarang :