Sekinchan menawarkan pelbagai produk pelancongan menarik seperti makanan laut, pemandangan sawah padi dan produk industri kecil dan sederhana. Foto SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Harungi cabaran perkasa semula pelancongan negeri pascawabak

SHAH ALAM, 15 JULAI: Tourism Selangor diharap kekal berusaha mengharungi cabaran untuk memperkasa semula sektor pelancongan negeri pascawabak Covid-19.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari mengakui pandemik yang melanda negara sejak lebih setahun memberi kesan sangat parah terhadap industri terbabit.

“Selangor mempunyai pelan serta perancangan komprehensif sebagaimana terkandung dalam Pakej Kita Selangor 1.0 dan 2.0 dengan peruntukan sejumlah bantuan bagi menarik pelancong ke negeri ini.

“Semoga kita terus kekal berusaha mendepani cabaran untuk kembali menjadikan Selangor sebagai destinasi pelancongan terkemuka dan terbaik di Malaysia mahupun peringkat antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena sambutan ulang tahun ke-20 penubuhan badan induk pelancongan negeri itu secara maya dalam sesi ‘Tourism Selangor’s Live Talk-Episod 2’ semalam.

Amirudin berkata Selangor berjaya menarik lebih 30 juta pelancong pada 2019 sekali gus memberi kesan ekonomi dan menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan negeri.

Katanya, kejayaan itu didorong kerja keras pemain industri dengan meneroka kawasan pelancongan baharu selain mempromosi tempat menarik yang memiliki kepelbagaian budaya dan kualiti.

Pada 9 Jun, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM2.55 juta bagi kelangsungan industri pelancongan menerusi Pakej Kita Selangor 2.0.

Inisiatif dilaksana meliputi bantuan geran berjumlah RM1 juta, baucar pelancongan, program latihan pembelajaran pendigitalan pelancongan dan bantuan kewangan tunai kepada 16 persatuan pelancongan.


Pengarang :