Foto BERNAMA
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Hilang pendapatan akibat Covid-19 punca ramai jadi murung

SHAH ALAM, 5 JULAI: Kemurungan kerana hilang sumber pendapatan akibat Covid-19 antara kes yang kerap diterima Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat (PKS-TS) mutakhir ini.

Pengerusinya Mohamad Zahri Samingon berkata masalah itu perlu diatasi segera kerana ia boleh mendorong kepada perlakuan bunuh diri.

“Kemurungan berpunca daripada isu kekeluargaan, hubungan dan kebelakangan ini beberapa kes teruk diterima PKS-TS disebabkan kehilangan sumber pendapatan.

“Isu berkaitan kemurungan serta bunuh diri bukan kes biasa, penyelesaiannya memerlukan pakar dan profesional bagi membuat penilaian atau intervensi sesuai dengan segera,” katanya ketika dihubungi.

Mohd Zamri berkata sebanyak 2,528 sesi kaunseling dikendalikan, termasuk membabitkan 409 kes kesihatan mental sejak 2019 hingga Jun lalu.

Jelasnya, sebanyak 859 sesi kaunseling bersemuka dikendalikan pada 2019, dengan 43 kes berkaitan kesihatan mental termasuk kemurungan.

“Tahun lalu, sebanyak 744 sesi kaunseling bersemuka dan 360 sesi secara maya dengan pecahan 21 sesi bersemuka serta 142 secara dalam talian khusus untuk berkaitan kesihatan mental.

“Pada tahun ini, sebanyak 145 sesi bersemuka diadakan pada Mac dan April manakala 420 sesi secara maya sehingga Jun, 203 daripadanya membabitkan kesihatan mental,” katanya.

PKS-TS boleh dihubungi di talian 03-5519 0500 atau WhatsApp 013-300 9291 dan melalui Facebook Pusat Kaunseling Selangor-Talian Sahabat.


Pengarang :