Petugas kesihatan menguruskan pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDANASIONAL

HTAR tutup semua perkhidmatan rawatan pesakit luar

SHAH ALAM, 10 JULAI: Semua perkhidmatan rawatan pesakit luar Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang ditutup sepenuhnya bermula semalam.

Pengarahnya, Dr Zulkarnain Mohd Rawi berkata penutupan dilakukan sebagai persediaan menghadapi pengurusan Covid-19.

Perkhidmatan rawatan klinik pakar pesakit luar di Kompleks Rawatan Harian serta Fisioterapi dan Pemulihan Carakerja di bangunan utama antara yang terjejas.

“Pesakit mempunyai janji temu di klinik pakar dinasihatkan supaya tidak hadir ke hospital sehingga diberitahu kelak.

“Beberapa pegawai perubatan akan memantau dan menyusun semula janji temu pesakit di klinik pakar termasuk pemberian preskripsi baharu bagi pesakit kehabisan ubat,” katanya dalam kenyataan.

Tambah Dr Zulkarnain, pihak hospital akan memberi tarikh dan masa baharu janji temu klinik pakar serta pengambilan ubat di farmasi kepada pesakit melalui sistem pesanan ringkas (SMS).

“Pesakit dinasihatkan peka dengan notifikasi diberikan melalui SMS supaya tidak terlepas janji temu dan terputus bekalan ubat-ubatan sepanjang penutupan perkhidmatan ini,” katanya.


Pengarang :