Fuziah Abdul Rahman, 44, (kanan) ditemani anak Dina Nadia Zafrey, 17, (kiri) ketika mengambil suntikan dos pertama di pusat pemberian vaksin (PPV) Hotel De Palma, Seksyen 19, Shah Alam pada 23 Julai 2021. Foto ZAREEF MUZAMMIL/SELANGORKINI
SELANGOR

Ibu bawa anak gadis ke PPV, beri semangat suntik vaksin

SHAH ALAM, 23 JULAI:  Mahu memberi pendedahan mengenai program vaksinasi mendorong seorang ibu membawa anak gadisnya ke pusat pemberian vaksin (PPV) di Hotel De Palma, Seksyen 19 di sini hari ini.

Fuziah Abdul Rahman, 44, yang menerima suntikan dos pertama menerusi program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti berkata biarpun tidak dibenarkan masuk ke ruang PPV, sekurang-kurangnya Dina Nadia Zafrey, 17, berpeluang melihat situasi sebenar di lokasi.

Ibu kepada tiga cahaya mata itu berkata dirinya terdetik untuk berbuat demikian selepas mengetahui pendaftaran kumpulan remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun untuk mendapatkan vaksin sudah diterima oleh sistem MySejahtera.

“Kalau diikutkan anak sulung saya akan genap 18 tahun pada Disember ini namun usianya ketika ini masih belum layak divaksin tetapi sudah boleh berdaftar sebagai penerima vaksin.

“Jadi, saya nekad bawa dia ke sini untuk beri semangat dan melihat sendiri persekitaran di PPV yang sebenarnya tidaklah terlalu sesak memandangkan sebelum ini ramai cakap kena beratur panjang serta menunggu lama. Insya-Allah saya yakin dia akan bersedia nanti,” katanya ketika ditemui Selangorkini.

Sementara itu, beliau bersyukur kerana menjadi salah seorang daripada 2,500 individu yang terpilih mendapat vaksin jenis Sinovac menerusi program berkenaan di bawah Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Tiga.

Pendandan rambut di sebuah pusat kecantikan dan dandanan di sini berkata dia membuat pendaftaran di aplikasi MySejahtera kira-kira tiga bulan lalu namun belum menerima tarikh janji temu.

“Saya dapat panggilan daripada wakil rakyat, Rodziah Ismail dan gembira selepas dapat tahu layak dalam program Selvax sebab selagi tidak divaksin saya rasa tidak selesa, apatah lagi ibu yang tidak sihat tinggal bersama.

“Alhamdulillah, sekarang rasa lega dan berharap dapat melalui kehidupan normal selepas ini,” katanya sambil memuji proses pemberian vaksin yang mengambil masa kurang 30 minit selepas pendaftaran.

 


Pengarang :