Halimey Abu Bakar (kiri) meninjau program Vaksin Selangor (Selvax) Komuniti di Kompleks Sukan PKNS,Kelana Jaya pada 30 Julai 2021. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Individu daftar MySejahtera dapat Vaksin Selangor di PPV terpilih

PETALING JAYA, 30 JULAI: Individu yang mendapat janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dibenar menerima suntikan vaksin Program Vaksin Selangor (Selvax) di pusat pemberian vaksin (PPV) terpilih.

Ahli Dewan Negeri Seri Setia berkata keputusan itu hasil kerjasama yang dipersetujui antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan Kerajaan Selangor bagi menpercepat proses suntikan kepada penduduk.

Halimey Abu Bakar menjelaskan proses tersebut hanya melibatkan beberapa PPV di negeri ini termasuk Kompleks Sukan PKNS di kawasan yang diwakilinya.

“Perkara ini tidak mendatangkan masalah kerana jumlah dos pelalian dari Kerajaan Selangor mencukupi selain matlamat Selvax sememangnya mahu membantu pembentukan imuniti kelompok lebih cepat.

“Hari ini, buat pertama kalinya di PPV Kompleks Sukan PKNS, kita satukan penerima program Selvax Komuniti DUN Seri Setia dengan MySejahtera.

“Walaupun kehadiran peserta ramai, namun proses lancar hasil kerjasama petugas dan sukarelawan,” katanya ketika ditemui dalam program Selvax Komuniti Dewan Undangan Negeri Seri Setia di Kelana Jaya di sini hari ini.

Terdahulu, PPV berkenaan yang sebelum ini dikhas kepada peserta Selvax menerima ramai kehadiran berikutan penyertaan peserta Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

Peniaga Roslan Abdul Razak, 53, memuji petugas PPV yang memberi suntikan kepada peserta sama ada pendafaran dibuat menerusi aplikasi MySejahtera mahupun SELangkah.

“Anak saya Izwan Akmal, 26, merupakan pesakit Autisme. Dia dapat giliran di sini menerusi MySejahtera. Mulanya risau juga tidak dapat suntikan tetapi petugas beri jaminan.

“Proses juga berjalan lancar malah OKU dan warga emas juga diutamakan menerusi kaunter khas,” katanya.


Pengarang :