Penghantar barangan Seldec menunjukkan isyarat bagus ketika menunggu giliran mendapatkan inisiatif RiDE oleh Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 14 Disember 2020. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Individu hilang kerja, usia 30 tahun ke atas boleh mohon RiDE

SHAH ALAM, 8 JULAI: Program Inisiatif Roda Darul Ehsan (RiDE) bakal diperluas kepada golongan berumur 30 tahun ke atas yang hilangan pekerjaan akibat Covid-19.

EXCO Generasi Muda, Mohd Khairuddin Othman berkata perkara itu telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan keputusan mengenainya diketahui dalam tempoh terdekat.

“Ketika ini RiDE terbuka kepada pemohon berumur 17 hingga 30 tahun, namun kita pinda syarat permohonan susulan laporan diterima menunjukkan ramai individu berumur 30 tahun ke atas terjejas pendapatan.

“Kerajaan Negeri berharap langkah ini membolehkan lebih ramai rakyat Selangor mendapat manfaat serta menjana pendapatan menerusi bidang e-panggilan,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau berkata seramai 1,500 individu mendapat manfaat program tersebut sepanjang tahun ini serta menyarankan golongan terkesan mengambil peluang disediakan Kerajaan Negeri.

RiDE menawarkan subsidi lesen motosikal B2 berjumlah RM350, kursus e-panggilan bernilai RM150 dan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial RM70 setahun.

Pada 14 Disember tahun lalu, Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata seramai 1,980 individu mendapat manfaat program itu sejak dilancarkan 1 Ogos tahun sama.

Belanjawan Selangor 2021 memperuntuk RM2 juta bagi meneruskan program RiDE. Permohonan boleh dibuat melalui pautan
http://msnselangor.gov.my.


Pengarang :