Kit kesihatan bernilai RM200 disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan pesakit yang kuarantin di rumah. Selain panduan, ia mengandungi alat pengukur kandungan oksigen, ubat dan jangka suhu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Inisiatif kit penilaian dan laporan kesihatan menerusi SELangkah diiktiraf

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kenyataan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Chong Chee Kheong mengenai kit penilaian di rumah dan aplikasi Langkah Masuk Dengan Selamat (SELangkah) merupakan pengiktirafan kepada Kerajaan Negeri.

EXCO Kesihatan Dr Siti Mariah Mahmud berkata pengiktirafan terhadap dua inisiatif yang dilaksanakan itu adalah hasil saranan Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC).

“Pengiktirafan ini sangat bermakna untuk Kerajaan Negeri meneruskan program-program inisiatif bagi melengkapi usaha kerajaan pusat dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang sedang berusaha sehabis baik mengurus dan menangani pandemik Covid-19.

“Sejak Jun 2021, Kerajaan Negeri melaksanakan sistem sokongan melalui proses penilaian dan pengurusan kes Covid-19 bagi kategori kes positif tidak bergejala atau bergejala ringan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata pemberian kit termasuk alat pengukur kandungan oksigen bertujuan mengurangkan kesesakan di Pusat Penilaian Covid-19 serta pejabat kesihatan daerah selain meringankan beban petugas barisan hadapan.

“Kit penilaian di SELangkah membolehkan pesakit mengemas kini status kesihatan dengan memasukkan keputusan bacaan oksigen beserta simptom. Petugas kesihatan akan memantau keadaan pesakit dan memberi rawatan segera sekiranya perlu.

“Kerajaan Negeri berharap strategi ini dapat dilaksanakan dengan lancar dengan kerjasama baik dari semua pihak demi mengurangkan lonjakan kes dan seterusnya memutuskan rangkaian Covid-19 secepat mungkin,” katanya.

Semalam, Dr Chee Kheong mengarahkan individu tidak bergejala menjalani kuarantin di rumah selama 10 hari dan melaporkan diri secara dalam talian menggunakan kit penilaian di rumah dalam aplikasi MySejahtera, e-Covid atau SELangkah.

Pada 9 Jun, Kerajaan Selangor memperuntuk RM1.25 juta bagi menyediakan kit kesihatan yang setiap satunya mengandungi oximeter, ubat-ubatan, pelitup muka dan jangka suhu.

SELangkah  yang diperkenalkan pada 4 Mei tahun lepas merupakan sistem pendaftaran keluar masuk individu ke premis bagi memudahkan pengesanan kontak jika berlaku jangkitan Covid-19.

 


Pengarang :