Ilustrasi pasangan bernikah. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jais: Pasangan lulus permohonan dibenar langsung majlis akad nikah

SHAH ALAM, 6 JULAI: Pasangan yang telah mendapat kebenaran bernikah dibenar melangsungkan upacara itu mengikut tarikh ditetapkan Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) masing-masing.

Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memaklumkan bagaimanapun bagi permohonan yang baharu hendak dimajukan ke Paid tidak dapat diproses berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Namun, pengecualian diberi bagi Sabak Bernam yang mana daerah terbabit tidak dikenakan PKPD.

“Justeru, pasangan yang telah mendapat tarikh bagi janji temu di daerah terlibat PKPD akan dijadualkan semula dan tarikh baharu akan diberi selepas tamat tempoh berkenaan,” katanya.

Jais memaklumkan secara purata antara 2,500 sehingga 3,000 permohonan sebulan yang mendapat kebenaran bernikah tertangguh ekoran pejabat ditutup ketika PKPD.

Sebelum ini Jais membenarkan pelaksanaan majlis akad nikah secara bersemuka mulai 1 Julai yang hanya boleh dilaksanakan di pejabat Jais dan Paid dari Isnin hingga Ahad.

Jais juga mengingatkan pengantin lelaki, perempuan serta wali wajib menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) dalam tempoh 72 jam sebelum pelaksanaan majlis dan mengemukakan keputusan ujian kepada pendaftar.

Untuk sebarang pertanyaan boleh menghubungi 03-5514 3400/3600 atau emel [email protected].


Pengarang :