Bekas penjaga gol kebangsaan dan Selangor, Jamsari Sabian mengusahakan bakul makanan untuk diagihkan kepada penduduk Selangor yang terkesan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Beliau yang ditemui di perkarangan Menara Bank Rakyat, Shah Alam pada 30 Jun 2021 memberitahu agihan dibuat dengan menghantar terus ke rumah dan di lokasi terpilih. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGORSUKANKINI

Jamsari guna hasil jual kerepek untuk sedia bakul makanan

SHAH ALAM, 7 JULAI: Bekas penjaga gol Selangor mengambil inisiatif menyediakan bakul makanan bagi membantu rakan seperjuangan yang terkesan pandemik Covid-19.

Jamsari Sabian, 43, berkata bakul makanan itu disediakan menggunakan pendapatan perniagaan sambilan menjual kerepek dan paru berlada sejak Mac tahun lalu.

“Bantuan yang diberikan berbentuk makanan asas seperti beras, gula dan biskut. Bakul makanan ini turut diberikan kepada jiran serta rumah anak yatim.

“Pandemik Covid-19 menyebabkan masyarakat hilang pendapatan dan sejak itu timbul kesedaran untuk membantu mereka agar tidak terputus makanan.

Jamsari Sabian

“Setiap minggu saya menyediakan enam bakul makanan untuk diagihkan kepada mana-mana individu terkesan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Jurulatih penjaga gol bagi skuad Universiti Teknologi Mara (UiTM) bawah 21 tahun itu berkata beliau berharap agar lebih ramai individu berkemampuan tampil bersama-sama menghulur bantuan membantu rakyat susah.

“Saya melihat kesungguhan pendakwah Ebit Lew membantu orang dan percaya amalan sedekah ini membantu rezeki berpanjangan,” kata bapa tiga anak itu.

Jamsari menyertai The Red Giants pada 2005 hingga 2006 dan sepanjang tempoh itu beliau mengecapi Juara Liga Premier, Juara Piala FA dan Juara Piala Malaysia bagi musim 2005.


Pengarang :