Petugas kesihatan membuat persediaan dan merekod kehadiran pesakit Covid-19 ketika tinjauan hari pertama pembukaan Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Stadium Malawati Shah Alam pada 8 Februari 2021. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONALSELANGOR

JKNS ambil langkah drastik elak pesakit bersesak di CAC Malawati

SHAH ALAM, 14 JULAI: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan tidak berlaku limpahan pesakit di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Malawati, semalam.

Pengarahnya, Datuk Dr Sha’ari Ngadiman berkata pusat tersebut hanya mampu merawat sehingga 1,500 pesakit sehari namun semalam 4,483 individu telah hadir bagi mendapat rawatan.

“Bagi memastikan perkara ini dapat diatasi segera kita menempatkan tambahan kakitangan seramai 85 orang yang dimobilisasikan dari negeri lain di samping petugas diambil dari klinik kesihatan di Selangor.

“Kita juga mewujudkan beberapa laluan di CAC Malawati iaitu laluan pemotongan gelang serta laluan khas untuk warga emas, OKU (orang kelainan upaya) dan kanak-kanak,” katanya dalam sidang media Pasukan Bertindak Khas Greater Klang Valley, semalam.

Beliau turut memaklumkan CAC lain akan dibuka setiap hari bagi mengelak kesesakan di Stadium Malawati selain menggalakkan pihak swasta mewujudkan pusat penilaian terbabit.

Sementara itu, bagi situasi di CAC Andalas, Dr Sha’ari berkata seramai 1,900 orang telah hadir semalam namun ia hanya mampu merawat 1,000 pesakit sehari.

Katanya, situasi itu menimbulkan kegusaran penduduk dan langkah segera diambil dengan mengasingkan kawasan pesakit dengan perumahan penduduk serta meletakkan petugas untuk mengawal trafik.

“Kita juga akan melakukan penilaian semula jika CAC Andalas tidak dapat beroperasi dengan baik dan memindahkan ke tempat lain yang akan dikenal pasti dalam tempoh dua minggu,” katanya.


Pengarang :