Zarina Zahidan (kanan) menunjukkan antara kek yang dijual di Zarina Cakes
BERITA UTAMARENCANAWAWANCARA

Jualan kek ‘meletup’ ketika PKP, peniaga bangkit langsai hutang

Foto Fikri Yusof

SHAH ALAM, 2 JULAI: Sehingga tahun 2018, kehidupan Zarina Zahidan, 31, dikelilingi hutang. Pinjaman peribadi dan koperasi, ansuran kereta, tunggakan sewa rumah dan bermacam-macam lagi.

Walau gaji bulanan suami isteri dicampur, selepas ditolak semua itu, hanya tinggal kira-kira RM200 untuk makan minum enam beranak.

Atas cadangan suami, Zarina mula belajar membuat kek untuk menambah pendapatan. Memang juadah kegemarannya pun.

Berbekal sepapan telur, pengadun tepung dan pinjaman wang RM300 dari majikan suami pada tahun yang sama, beliau mula belajar resipi kek dari YouTube.

Tidak sampai setahun, beliau dinobat Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sebagai antara penjual e-dagang tertinggi melalui aplikasi Shopee.

Mula niaga

Ketika Zarina mula-mula buat kek, selepas membeli barang keperluan termasuk ketuhar, duit di tangan hanya tinggal beberapa puluh ringgit sahaja.

Kira-kira 30 kek dihasilkannya dalam seminggu. Namun, semua berakhir ke bakul sampah. Rentung. Keras. Untuk dimakan sendiri pun tidak lalu. Apatah lagi untuk dibuat jualan.

Zarina Zahidan berkongsi kisah membangunkan perniagaan kek di studionya di Taman Sri Bayu, Rawang baru-baru ini

“Dalam sehari, tiga empat kali buat kek tapi tidak menjadi, dibuang begitu sahaja. Tiap-tiap hari juga saya telefon suami di tempat kerja suruh beli telur lagi.

“Saya cuba lagi sampai jadi. Selepas seminggu barulah dapat buat dengan sempurna,” katanya kepada Selangorkini di studio Zarina Cakes di Taman Sri Bayu, Rawang baru-baru ini.

Keyakinan Zarina mula timbul. Kek buatan tangannya makin menjadi. Malah, beberapa rakan berminat membeli. Beliau kian berani untuk menjual.

Selepas mahir, atas dorongan rakan-rakan, Zarina membuka tempahan. Bermula dengan rakan dan saudara-mara terdekat diikuti promosi ke dalam kumpulan WhatsApp dan kenalan Facebook.

Malah, Zarina turut mengikuti kelas berbayar untuk mengasah lagi kemahirannya. Sedikit demi sedikit, jualan atas jenama Zarina Cakes mendapat sambutan baik hingga mencapai purata RM6,000 sebulan pada 2019.

Jualan meletup

Ketika banyak pihak mengeluh apabila Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksana pada Mac tahun lalu, jualan kek Zarina tanpa disangka-sangka ‘meletup’.

“Masa mula-mula PKP, saya buat siaran langsung membuat kek di Facebook. Dapat ramai pengikut baharu sebab ramai tonton perkongsian video saya.

“Selepas dua minggu, barulah kami mula ambil tempahan. Tidak disangka-sangka jualan kek mencecah RM30,000 sebulan,” katanya.

Kakitangan Zarina Cakes membungkus kek yang ditempah pelanggan

Beliau kemudian memindahkan operasi perniagaan dari unit pangsapuri yang didiami ke rumah teres yang dijadikan studio kek.

Pun begitu, di sebalik kejayaan itu cabaran tetap ada. Semuanya berpunca akibat konflik dalaman antara pekerja dan majikan sebuah syarikat perkhidmatan penghantar terkenal.

Kek yang ditempah pelanggannya banyak rosak. Ada juga terlalu lewat sampai ke tangan pelanggan. Akibatnya, beliau terpaksa memulangkan semula wang pelanggan, keseluruhannya hampir RM10,000.

Mujur Zarina ada membuat simpanan dari keuntungannya sebelum ini. Sekurang-kurangnya beliau mampu menyerap kerugian itu.

Selain menjual, beliau juga giat mengadakan kelas membuat kek secara langsung di Facebook dengan bayaran RM100. Beliau mempunyai 1,700 pelajar.

Bukan sahaja mengajar membuat kek, Zarina juga melatih pelajarnya termasuk teknik memasar produk ke dalam talian sama ada di Shopee dan media sosial.

“Saya ajar mereka teknik menarik pelanggan, pembungkusan, bahkan saya beri mereka poster kek yang sama kami gunakan hinggalah cara memasarkannya.

“Pendek kata, saya sebenarnya mencipta pesaing sendiri tetapi saya yakin masing-masing ada rezeki. Insya-Allah, bila beri orang ilmu, rezeki kita berkat,” katanya.

Namun, Zarina tetap berbangga. Walau memulakan perniagaan dalam serba kekurangan, beliau mampu melangsaikan hutang lama, bahkan berjaya membangunkan perniagaan tanpa membuat pinjaman.

Berbanding ketika mula berniaga, beliau hanya memiliki peralatan asas sahaja. Kini perniagaannya mempunyai lapan buah pengadun dan 10 ketuhar.

 

 


Pengarang :