Petugas kesihatan lengkap berpakaian baju Melayu memberi suntikan vaksin kepada penerima pada hari pertama Aidiladha di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Movenpick Hotel dan Convention Centre KLIA, Sepang pada 20 Julai 2021. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Jumlah suntikan ditingkat, lebih 188,000 vaksin diagih di Sepang

SHAH ALAM, 20 JULAI: Sebanyak 188,618 vaksin Covid-19 dos pertama dan kedua diagih di enam pusat pemberian vaksin (PPV) bukan kesihatan serta industri di Sepang sejak Mac sehingga semalam.

Pegawai daerahnya berkata angka tersebut meningkat ketara selepas jumlah pemberian vaksin kepada orang ramai ditambah di PPV Hotel Movenpick dan yang lain.

“Sebelum ini PPV Hotel Movenpick hanya memberi 2,000 dos suntikan pada dua hari pertama beroperasi namun telah ditingkatkan kepada 5,000 sehari sejak 7 Julai lalu.

“Ada juga segelintir individu belum dapat janji temu vaksin tetapi Insya-Allah kita akan bekerjasama dengan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) untuk membantu mempercepatkan proses itu,” kata Mohamad Zain A Hamid.

Pegawai Daerah Sepang, Mohamad Zain A Hamid. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian kepada media pada program penyampaian juadah raya Aidiladha kepada petugas barisan hadapan di PPV Hotel Movenpick & Pusat Konvensyen KLIA di sini hari ini.

Pada majlis itu, sebanyak 250 juadah raya disampaikan Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek Ronnie Liu Tian Khiew kepada petugas di hotel berkenaan sebagai tanda penghargaan bertugas ketika Aidiladha.

Selain Hotel Movenpick, PPV bukan kesihatan lain ialah Dewan Serbaguna Bandar Baru Salak Tinggi, Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia dan Universiti Multimedia manakala PPV industri adalah Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) serta Hartalega.

Mengulas kaedah akan dilakukan bagi memastikan petugas PPV bebas Covid-19, Mohamad Zain berkata mereka akan dikenakan saringan secara berkala bagi memastikan kesihatan terjamin.

“Ujian tersebut dibuat mengikut hari tertentu mungkin dua atau tiga kali seminggu untuk memastikan mereka bebas risiko jangkitan. Petugas yang demam atau bergejala tidak benarkan bertugas.

“PPV juga akan disanitasi setiap hari bagi menjamin kebersihan dan kesihatan semua yang hadir,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata pihaknya turut memantau jumlah kehadiran individu ke PPV daerah Sepang bagi mengelak kesesakan pada satu-satu masa.


Pengarang :