Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia bertungkus lumus merawat pesakit Covid-19 yang koma di wad unit rawatan rapi Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 13 Julai 2021. Foto BERNAMA
SELANGOR

Kadar kebolehjangkitan Covid-19 di Selangor antara terendah

SHAH ALAM, 25 JULAI: Kadar kebolehjangkitan (RT) Covid-19 di Selangor setakat kelmarin adalah yang kesembilan dalam negara walaupun jumlah kes harian di negeri ini melebihi 7,000 kes.

Ketua pengarah kesihatan berkata kadar RT di Selangor adalah 1.15 iaitu lebih rendah jika dibandingkan dengan Terengganu, Kedah dan Pulau Pinang.

“Berdasarkan data terkini pada 23 Julai 2021, nilai RT Malaysia adalah sebanyak 1.09. Negeri yang mencatatkan nilai RT yang tertinggi adalah Terengganu (1.37) diikuti oleh Kedah (1.23) dan Pulau Pinang (1.22).

“Semua negeri mencatatkan RT melebihi 1.0 kecuali Wilayah Persekutuan Labuan dan Perlis,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan semalam.

Menerusi perkongsian jadual nilai RT negeri-negeri lain adalah Kelantan (1.20), Putarajaya dan Johor (1.19), Sabah dan Pahang (1.17), Melaka (1.12), Kuala Lumpur (1.11), Perak (1.07) Negeri Sembilan (1.04) dan Sarawak (1.03).

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan sebanyak 184 kematian dilaporkan semalam dengan angka korban teramai adalah di Selangor iaitu 87 orang.

Katanya, daripada 184 kematian sebanyak 32 kes adalah kematian sebelum tiba ke hospital (BID) dan 13 kes adalah di Selangor.


Pengarang :