AGENDANASIONAL

Kadar kebolehjangkitan lepasi paras 1.0 dua hari berturut-turut

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kadar kebolehjangkitan (Rt) Covid-19 mengikut kes harian seluruh negara kembali meningkat melebihi paras ambang 1.0 untuk dua hari berturut-turut.

Menerusi data dikongsi ketua pengarah kesihatan di Facebook, Rt  purata kebangsaan mencatat 1.05 semalam, meningkat daripada 1.04 kelmarin.

Nilai dicatatkan itu adalah Rt tertinggi dalam tempoh 28 hari selepas mencatat 1.06 pada 3 Jun lalu, sebelum turun ke paras terendah 0.90 pada 12 Jun.

Data dikongsi Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga menunjukkan enam negeri mencatat Rt melebihi purata kebangsaan antara 1.07 hingga 1.19.

Rt tertinggi 1.19 dicatatkan Pahang, disusuli Putrajaya (1.09), Melaka (1.09), Perak (1.08), Kuala Lumpur (1.07) dan Negeri Sembilan (1.06).

Selangor pula mencatat 1.05, manakala Rt terendah direkodkan Terengganu dengan 0.67.

Nilai Rt merujuk kepada tahap kebolehjangkitan kes Covid-19. Sebagai contoh, jika nilai Rt adalah 1.5, bererti satu kes positif boleh menyebarkannya kepada seorang atau dua orang yang lain.


Pengarang :