Rakyat Terengganu hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) pada 13 Jun 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kakitangan PKPS, anak syarikat pertama Kerajaan Negeri jadi sukarelawan PPV

SHAH ALAM, 9 JULAI: Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) menjadi anak syarikat pertama negeri ini menggerakkan kakitangan sebagai sukarelawan di pusat pemberian vaksin (PPV).

Ketua pegawai eksekutif kumpulan berkata seramai 86 pekerja terlibat program berkenaan dan telah bertugas sejak Mei lalu di PPV Dewan Besar Tanjung MBSA, Seksyen 19.

“Langkah ini bukan sahaja membantu petugas Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) tetapi juga dapat mempercepatkan kadar vaksinasi rakyat negeri ini.

“Usaha ini berterusan supaya matlamat membentuk imuniti kelompok dapat dicapai segera. Jumlah sukarelawan mungkin akan ditambah berdasarkan keupayaan tenaga kerja,” kata Dato’ Abdul Ghariff Ramin menerusi kenyataan.

Semalam beliau menyertai lawatan Pengarah JKNS Datuk Dr Sha’ari Ngadiman di PPV berkenaan.

Sementara itu, Dr Sha’ari menggalakkan lebih ramai kakitangan agensi Kerajaaan Negeri menjadi sukarelawan memandangkan hampir 130,00 individu perlu disuntik setiap hari.

“Sama ada syarikat kerajaan (GLC), anak syarikat atau NGO (pertubuhan bukan kerajaan) yang berminat menjadi sukarelawan boleh hubungi JKNS atau Kerajaan Negeri,” katanya.

 


Pengarang :