Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib. Foto BERNAMA
AGENSISELANGOR

Kanak-kanak merajuk lari rumah tidak dibenar main telefon ditemui selamat

SHAH ALAM, 18 JULAI: Seorang kanak-kanak berusia 11 tahun lari dari rumah selepas dilarang bapanya daripada berbasikal dan bermain permainan dalam telefon bimbit, malam tadi.

Bagaimanapun kanak-kanak lelaki yang merajuk itu berjaya ditemui dalam keadaan selamat oleh orang awam sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Shah Alam Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, polis mengesan video tular mengenai kanak-kanak itu ditemui di perhentian Bas Setia Alam di sini yang terletak kira-kira 200 meter dari kediamannya.

“Mangsa ditemui di perhentian bas itu sekitar jam 9.47 malam semalam oleh seorang lelaki sebelum menyerahkannya kepada Balai Polis Setia Alam.

“Hasil siasatan mendapati mangsa keluar rumah kerana merajuk berikutan tidak dibenarkan bermain basikal dan ‘game’ di dalam telefon bimbit,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga menasihatkan masyarakat agar lebih peka terhadap isu kekeluargaan terutama dalam situasi pandemik melanda negara.

“Polis telah memberi nasihat dan teguran kepada keluarganya agar lebih peka dalam penjagaan kanak-kanak. Seruan polis supaya masyarakat lebih prihatin terhadap isu kekeluargaan terutama semasa berdepan pandemik Covid-19,” katanya.


Pengarang :