Petugas ibadah korban memotong daging lembu untuk diagihkan kepada penduduk sekitar Bukit Antarabangsa pada 20 Julai 2021. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
SELANGOR

Kariah Masjid Bukit Antarabangsa lega boleh laksana ibadah korban

AMPANG, 20 JULAI: Kebenaran menjalankan ibadah korban sempena Aidiladha melegakan pengurusan jawatankuasa masjid negeri ini meskipun tertakluk tatacara operasi piawai (SOP) ketat.

Ahli Jawatankuasa (AJK) Masjid Bukit Antarabangsa Jasmi Md Yusof, 57, bersyukur kerana permohonan melaksanakan aktiviti sembelihan di institusi berkenaan mendapat kelulusan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).

“Mereka (Jais) benarkan pelaksanaan aktiviti sembelihan tetapi perlu patuh setiap SOP digariskan selain mensyaratkan petugas ibadah korban divaksin sekurang-kurangnya satu dos.

Ahli Jawatankuasa Masjid Bukit Antarabangsa, Jasmi Md Yusof.

“Kami gembira walaupun kebenaran diberi empat hari sebelum perayaan, ahli kariah juga sudah mengumpul wang untuk membeli 10 ekor lembu,” katanya ketika ditemui di Stelvio Bukit Antarabangsa di sini hari ini.

Mengulas mengenai garis panduan solat sunat Aidiladha, beliau berkata seramai 60 jemaah termasuk AJK diberi kebenaran solat di masjid terbabit pagi tadi.

Sementara itu, Pengerusi Program Ibadah Korban Bukit Antarabangsa Roslee Derohim, 55, berkata pihaknya memastikan kesemua 30 petugas terlibat dengan aktiviti penyembelihan lembu sudah mendapat suntikan pelalian.

Pengerusi Masjid Bukit Antarabangsa, Roslee Derohim.

“Kita berasa selamat apabila sudah divaksin walaupun bukan seratus peratus tetapi lebih baik ada perlindungan selain menekankan aspek pemakaian pelitup muka semasa aktiviti korban,” katanya.

Kerajaan Selangor menetapkan hanya tiga premis dibenar melaksanakan aktiviti sembelihan ibadah korban sempena perayaan Aidiladha mengikut SOP ketat.

Premis dibenarkan ialah rumah sembelih veterinar atau rumah sembelihan swasta serta ladang ternak yang berdaftar dengan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Selangor dan masjid bawah Jais.


Pengarang :