Selangorkini
BUDAYA RENCANA

Juri Hadiah Sastera Selangor: Karya belum cukup matang

Majlis anugerah Hadiah Sastera Selangor (HSS) 2020 pada 20 Julai menyaksikan tiada pemenang utama bagi kategori cerpen, sajak dan esei. Hanya 11 pemenang penghargaan diberi kepada penulis.

Sejak 2015, HSS yang dilhamkan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari menawarkan seorang pemenang utama dan empat hadiah penghargaan bagi setiap genre.

Dinilai sembilan juri, Dr Faisal Tehrani yang menerajui panel tersebut memperinci aspek penjurian.

Hadiah Sastera Selangor (HSS) memasuki tahun kelima pada tahun 2020. Hadiah ini satu-satunya hadiah sastera yang masih utuh setelah beberapa hadiah sastera lain rebah dan menghilang begitu sahaja. Hadiah ini juga terbuka kepada semua rakyat Malaysia dan tidak terhad kepada mereka di Selangor sahaja. Ini menjadikan ia semakin diberi tumpuan oleh karyawan seluruh negara, selain menjadi wadah untuk pengarang muda berkincah di gelanggang.

Pihak penganjur telah menyerahkan kepada juri sejumlah 41 cerpen untuk dibaca, dinilai dan disaring bagi diberikan sebuah hadiah utama, dan empat hadiah penghargaan. Keputusan tahun ini adalah yang paling sulit kami lakukan, tetapi kami sepakat dalam memutuskannya.

Dalam menilai karya yang baik kami mengutamakan wacana-mesej, atau tema yang dihantar di mana ia harus berhubungan dengan masyarakat. Seterusnya kami akan memilih karya dengan gubahan paling halus yang krafnya tidak memaksakan. Kami juga berusaha memahami lambang yang dihantar pengarang dan meneliti aspek bahasa yang digunakan.

[IKUTI RAKAMAN MAJLIS HADIAH SASTERA SELANGOR 2020]

Akhir sekali, karya yang baik menurut kaca mata kami adalah karya yang lengkap dan berjaya dibangunkan dengan saksama mengambil kira semua rukun cerpen iaitu tema, plot, latar, watak dan perwatakan dan sudut pandang.

Kami mendapati cerpen-cerpen ini dari segi gubahannya tidak begitu berbeza antara satu sama lain di mana ia menekankan aspek bentuk dan struktur cerpen (eksperimental), membawa mood urban-kontemporari, menabur falsafah mudah, atau menukangi cerita tentang aspek pengkaryaan itu sendiri. Ia adalah formula ulangan seperti tahun-tahun lalu. Ada kemungkinan karyawan merasakan HSS tertarik dengan petua di atas.

Kali ini, kami mendapati karya yang diserahkan terlalu menyuguhkan falsafah secara mudah dengan sangkaan ia menjadi inti karya yang berwibawa. Naratif yang terbina juga tampak belum mengalami proses pengeraman matang sehingga menimbulkan kesan ketergesaan dengan tempelan fakta. Terdapat misalnya cerpen yang permulaan atau awalannya begitu menjanjikan tetapi klimaks dan peleraiannya bercemperaan tanda aspek-aspek asas pembinaan karya belum dikuasai.

Sebahagian besar cerpen juga tiada tumpuan atau fokus sehingga menimbulkan kesan kusut. Malah, karya juga seakan-akan terlalu mencuba tetapi tidak kesampaian, di mana mesej yang diutus terasa bersimpang-siur. Lebih malang, kami merasai keremajaan karya menenggelamkan kedewasaan seakan-akan HSS ini untuk pengarang peringkat sekolah.

Kami juga mendapati terdapat kecenderungan menunjuk-nunjuk yang mengapungkan kesan mengada-ada. Seperti tahun-tahun terdahulu karya abstrak dan eksperimental lebih menguasai. Ada kemungkinan pengalaman kuarantin menjadikan kebanyakan karyawan memilih sudut pandang pertama.

Seperti boleh dijangka juga karya dengan latar krisis kesihatan turut disinggung, misalnya perihal resah di dalam kurungan, perihal makmal di Wuhan China dan pelbagai lagi. Hal ini menjadi petanda karyawan begitu peka. Namun di tahun yang juga ribut oleh kemelut politik, kami tertanya-tanya mengapa karyawan menghindari tema politik. Tema ini tidak ditemui seperti tahun-tahun sebelumnya.

Rujukan kabur

Simbol dan lambang yang dihantar dalam karya acah mendalam tetapi oleh sebab tiada rujukan yang boleh dipegang ia menjadi terlalu kabur dan menyebabkan tanda tanya mengatasi kesan keindahan dan emosi. Terdapat karya yang mudah tetapi sedap dinikmati manakala terdapat karya terlalu memaksa dan dibuat-buat sehingga runtuh kematangannya. Karya-karya eksperimental yang didatangkan banyak yang mendera, mengecewakan dan jauh dari memuaskan.

Karya dengan nilai keagamaan kekal berkhutbah, manakala karya lain pula kekurangan teknik atau strategi penceritaan. Panel mendapati judul karya tidak menarik dan tidak memanggil. Kami juga mendapati terdapat beberapa karya yang merupakan satu homage, tribut dan semacam interteks dengan karya kanun dunia menyinggung karya dan susuk Seno Gumira Ajidarma, Gabriel Garcia Marquez dan Virginia Woolf.

Kami juri juga tertarik dengan beberapa karya humor yang segar. Akan tetapi karya jenaka ini masih ada kekurangan dari segi rukun cerpen yang sedikit menjejaskan keutuhan produk seni. Karya-karya ini bagaimanapun melepasi pusingan pertama kami.

Antara 41 karya ini; pengarang di Selangorkini ternyata menjadikan ruang ini sebagai medan untuk menguji ghairah berkarya mereka. Seperti tahun-tahun terdahulu, cerpenis di Selangorkini menghirup udara bersih untuk bersuara, di mana campur tangan editor adalah minimal, dan pengarang tidak terikat dengan nilai moral atau stail rumah penerbitan tertentu.

Setelah berbincang, kami menyenarai panjang sembilan cerpen untuk dibahaskan dari semua sudut. Karya-karya tersebut adalah:

  • Objek di dalam kotak fakta
  • Kau apa hari ini Melissa
  • Kuncitara
  • Senja merah di madrasah
  • Jalur malam
  • Mak Minah hilang kain kafan
  • Sapat
  • Sebongkah batu di tengah kota
  • Gabriel bukan Marquez

Harus dinyatakan di sini, majoriti juri tidak membaca karya ini ketika ia diterbitkan, justeru tidak mengenali pengarang-pengarang ini. Oleh sebab itu, juri tidak dipengaruhi oleh gaya penulisan, mazhab kepengarangan, gender, ataupun kaum.

Setelah perbincangan mendalam, kami memutuskan untuk tidak memberikan mana-mana karya hadiah utama, dan hanya empat karya disenarai pendek untuk hadiah penghargaan. Cerpen tersebut adalah:

  • Mak Minah hilang kain kafan
  • Kau apa hari ini Melissa
  • Sapat
  • Kuncitara

Cerpen Mak Minah hilang kain kafan adalah karya humor yang secara bersahaja menjadikan isu kepimpinan di Kampung Lidah Budaya sebagai antara mesej utamanya. Karya ini juga menyorot perihal kemiskinan sambil melapiskan dengan persoalan ketidak-pedulian pemimpin politik. Ia juga mudah diikuti kerana lancar dan menghiburkan dalam masa yang sama.

Kau apa hari ini Melissa adalah karya dengan tema LGBT yang langka. Apa yang membuatkan juri tertarik ialah karyawan turut menampilkan hujah kekuatan bahasa Melayu yang tiada gender menjadikan susuk LGBT lebih bermaruah apabila dipanggil. Namun, cerpen ini belum terasa kukuh sementara pengakhirannya agak longgar.

Cerpen Sapat ikut menarik perhatian juri memandangkan ia salah sebuah karya dengan pendekatan realisme yang jarang diperolehi dalam HSS. Karya ini hadir dengan latar berbeza dari kebiasaan iaitu urban-kontemporari tetapi membawa pembaca ke hutan Sarawak dengan terma dan ungkapan natif. Juri dapat mengagak karyawan cerpen ini adalah pengarang yang lebih berpengalaman, memandangkan garapannya serasa matang. Sayang sekali, cerpen ini bergaya menampilkan estetika sehingga membuatkan juri sedikit meraba untuk memahami apa yang ingin disampaikan di hujungnya.

Sebuah cerpen yang agak baik ialah Kuncitara. Cerpen ini menyorot dunia kuarantin yang merimaskan. Ia juga tampil bersahaja dan lucu tetapi belum cukup rapi. Terdapat perhatian oleh juri dengan unsur keganasan yang dikemukakan tetapi juri mengambil keputusan untuk menerima ia seadanya.

Malang sekali, jangkaan kami bahawa karya tahun ini lebih baik dari tahun lalu menjadi sebaliknya. Kami ingin menyatakan kepada karyawan di luar yang menjadikan Selangorkini sebagai medan berkarya, kemerosotan ini tidak harus berlaku. Kebanyakan karya mengulangi kelemahan yang telah ditegur. Untuk mempertahankan mutu HSS agar kekal berkualiti dan terpandang, kami berasa bertanggungjawab untuk melindungi wibawanya.

Justeru demi memastikan keunggulan HSS, kami berpendapat tiada cerpen pada 2020 layak diberikan hadiah utama menurut parameter sedia ada, manakala empat karya layak diberikan hadiah penghargaan.

Tiada takrif yang tepat dan muktamad, seperti apa bentuknya sebuah esei yang baik. Sebuah esei yang baik bagaimanapun lazimnya membentang kesatuan idea yang jitu, dikupas dengan tajam, disampaikan dengan cara bertutur yang lancar serta menunjukkan piawai berbahasa yang tinggi.

Esei juga sewajarnya berupaya menguja taakulan pembaca sekali gus membuka horizon baharu pemikiran pembaca. Dalam kerangka itulah panel juri meneliti 12 esei yang dikemukakan untuk dinilai bagi HSS 2020.

Daripada 12 esei yang dinilai, empat menyentuh tentang filem, tiga mengenai puisi, dua membahaskan isu sastera, sementara masing-masing sebuah esei kupasan novel, bahasa dan budaya.

Secara umumnya, panel sepakat bahawa semua esei yang layak dinilai bagi tahun ini menunjukkan kemerosotan dari segi kualiti berbanding kumpulan esei yang dinilai pada tahun-tahun sebelumnya. Panel berpendapat 12 esei yang dikemukakan pada tahun ini cuba berjuang untuk menjadi esei.

Masih ada kelemahan ketara, yang sesetengahnya berulang-ulang dari tahun ke tahun, berdasarkan laporan-laporan panel sebelum ini. Ada esei yang membayangkan percikan idea tertentu tetapi tidak dikembangkan dengan padu; menerawang dan sesat dalam hujah yang tidak bulat.

Idea yang cuba diketengah tidak dibuktikan dengan hujah yang wajar, malah ada juga esei yang mengangkat idea tertentu tetapi di tengah jalan membahaskan gagasan lain yang menyimpang, kalaupun tidak meruntuhkan kesatuan idea asal.

Tulisan yang mengangkat subjek filem condong berleluasa mencatatkan sinopsis, sehingga membazirkan ruang penerbitan yang sedia sempit – untuk penulisan sekitar 750 hingga sekitar 900 perkataan – yang sepatutnya dimanfaatkan untuk mengupas idea atau gagasan.

Terdapat juga tulisan yang membuat pernyataan idea pada penutup tanpa membina hujah dari awal untuk menegakkan kesimpulan. Rumusannya muncul tiba-tiba dan begitu sahaja tanpa ada penghujahan sokongan dan bukti. Sebaliknya penulis se-olah beria-ia mahu memujuk pembaca untuk mempercayai penyataan idea tersebut.

Terdapat juga esei yang terlalu banyak unsur campur tangan penulis dalam penghujahan dan wacana. Hal ini menjadikan esei bersifat pandangan peribadi serta sekali gus menjadikan penghujahan dan pembuktian lewah dan tidak tuntas.

Ada semacam kecenderungan untuk penulis hadir dan terlibat dalam tulisannya tanpa ada keperluan yang kukuh dan wajar. Tanpa “saya” ini berbuat atau berkata apa-apa pun, sesebuah tulisan, gagasan atau hujahan masih boleh tegak sendiri. Bentuk atau gaya penulisan ini sudah menjadi semacam trend semasa, yang dipercayai tempias daripada kebebasan penulis menerbitkan tulisan mereka di wadah mandiri tanpa editor – di media sosial, misalnya, yang ‘ditentukan’ buruk atau baiknya dengan memadai barangkali dengan perakuan berapa banyak tanda “suka” dan “kongsi” di Facebook.

Bagaimanapun, ada beberapa esei yang menunjukkan upaya penulis untuk mencadangkan gagasan dan kemudian membangunkan pandangan dengan lapis demi lapis hujah yang cuba bersatu. Namun panel berpendapat gagasan atau pandangan itu tidak menampilkan sudut pandang baharu, yang menjadikannya “perlu”, malah tidak juga dipersembahkan dengan kupasan yang tajam dan piawai bahasa yang wajar, yang menjadikannya “sedap”.

Atas penilaian itu, dengan kesulitan menemukan sebuah esei yang unggul mengikut kriteria piawai yang digariskan, panel bersetuju untuk tidak memberikan hadiah utama pada kali ini. Panel bagaimanapun memilih empat esei untuk diberikan hadiah penghargaan sebagai mana berikut tanpa mengikut urutan wibawanya:

  • Jargon: ketidakjujuran bahasa
  • Kejantanan dalam filem Melayu
  • Romantis penjenayah novel Melayu
  • Tipu daya filem ‘wira kulit putih’

Akhirnya, kami harus menyebut bahawa keempat-empat esei yang diperakukan ini – tanpa kecuali – masih boleh ditulis sekali lagi supaya lebih mantap hujahannya dan kemas bahasanya.

Tidak diperam

Juri menerima sebanyak 49 sajak untuk dinilai bagi HSS 2020. Juri membaca, menyaring dan meneliti kesemua puisi dengan berhemat dan teliti.

Semenjak diperkenalkan HSS, telah lahir ramai nama baru dalam dunia penulisan puisi di Malaysia. Penganjuran hadiah ini memberi ruang kepada penyair mencuba pengucapan gaya bahasa segar, berani meneroka isu baharu, bermain bentuk tanpa campur tangan atau kekangan oleh tangan editor.

Namun pada tahun 2020, juri mendapati mutu sajak pada tahun ini merosot dengan ketara berbanding pada tahun lalu dan tahun sebelumnya. Kebanyakan sajak hadir pada kadar sederhana dan kurang menawarkan sesuatu yang menjanjikan. Juri dan editor sependapat kurangnya puisi bermutu yang dihantar kepada pihak editorial berbanding tahun terdahulu. Juri berpendapat keperluan untuk editorial mencari dan menawarkan ruang puisi di akhbar Selangorkini kepada penulis-penulis berbakat.

Secara keseluruhan, kebanyakan sajak yang dinilai berlegar kepada isu dan tema yang sepunya. Beberapa sajak berefleksi peristiwa besar yang membelenggu tahun 2020 iaitu wabak Covid-19, musim kuarantin dan peralihan kuasa politik. Peristiwa ini mencetuskan rantaian kritikan sosial seperti isu di sempadan negara dan ekonomi rakyat. Sajak ketuhanan menggelintar keluar dari rintih dan keluh kesah serta mencuba pengucapan baharu. Ini menampakkan penyajak responsif kepada persekitaran, kritis dan peka serta tidak takut mengkritik tajam.

Selain itu, tema yang berulang dan menjadi kegemaran penulis pemula ialah sajak pengakuan dan romantis. Berkemungkinan tempoh berkurung dan kuarantin yang panjang menjelmakan ilham sedemikian. Terdapat juga usaha mengambil subjek bukan konvensional dalam garapan karya serta pengaruh bacaan tokoh dan peristiwa dijalinkan dalam baris sajak. Puisi prosa menjadi pilihan beberapa penulis pada tahun ini dan juga hadir beberapa sajak berbentuk eksperimen dan metafizik. Tahun ini juga menampakkan pengurangan sajak yang menggunakan unsur hiperbola yang berlebihan seperti tahun lalu.

Namun, kelemahan ketara dikesan dalam beberapa aspek penting. Terutamanya dalam pembinaan bahasa sajak yang cermat dan baik. Kebanyakan sajak diungkapkan dalam gaya bahasa yang mudah, kurangnya ketertiban gubahan, beberapa diksi dan imejan yang berulang dalam beberapa sajak, teknik persajakan yang klise, didaktik dan tema keakuan yang kental. Penyajak tidak cermat memilih kata dan menyusun komposisi yang konsisten untuk mengalir elok pada ungkapan mahupun pemaknaan. Juri sependapat kebanyakan sajak terbit dalam keadaan separa matang, tidak diperam dan disunting jitu.

Juri juga mengesan percubaan penyajak untuk menyelitkan baris daripada penyair terkenal, meminjam mitos, melambakkan jargon, kosa kata arkaik serta nama tokoh dari luar. Tetapi proses penulisan dilakukan tanpa cerapan dan kefahaman tulus dari nurani penyajak. Malah jangkauan pemikiran yang diapungkan dalam pemilihan kata, tidak berupaya memperkayakan pengalaman pembacaan khalayak.

Beberapa sajak cuba tampil dengan dandanan bahasa sederhana dan ekonomis namun kelemahan ketara dikesan apabila kaedah penyampaian terlalu langsung dan polos serta luapan perasan yang tidak setara dengan isinya. Ini mencerminkan ikutan gaya yang melulu tanpa memperhalus teknik kesederhanaan yang tampak mudah tetapi sebenarnya tidak enteng untuk diungkapkan.

Judul melulu

Dari segi revolusi bahasa, tiada perkembangan mendadak yang menggugah dan memberi impak emotif yang dikenang. Beberapa sajak juga tidak mencapai keutuhan idea walaupun sudah membuka dengan premis yang menjanjikan.

Juri juga mendapati kelemahan ketara dalam sebahagian besar sajak ialah pada penyandingan kata yang janggal, pemerengganan yang culas, pemilihan bentuk sajak yang kurang sesuai, pemilihan judul yang terlalu melulu dan kurang puitis. Ini menyumbang kepada pengurangan nilai estetika sajak.

Setelah pertimbangan teliti, juri bersepakat memperakukan tiada pemenang untuk hadiah utama dan memilih tiga sajak sebagai penerima hadiah penghargaan.

Keputusan yang sukar ini diambil kerana tiada karya yang utuh kukuh sebagai pemenang utama dan kebanyakan sajak berada pada liga yang hampir sama serta tidak menampakkan jurang yang terlalu jauh antara satu sama lain. Ketiga-ketiga ini mempunyai kekuatan yang hampir setara dalam darjah yang tersendiri.

Ketiga-tiga sajak ini layak diberi penghargaan sekurang-kurangnya memenuhi pembinaan bahasa sajak yang baik, susunan idea dan pengungkapan yang mengalir dari awal sehingga akhir, komposisi rima dan bunyi yang indah serta terkandung usaha penyair mengalirkan luapan emosi dan imejan yang sesuai dengan konteksnya. Meskipun ada yang tampil sederhana tetapi secara keseluruhan pemenang ada konsistensi sama ada alir bahasa, pengungkapan kata, komposisi dan impak emotifnya.

Puisi yang menjadi pilihan jitu juri ialah Tubuh yang terpecah menjadi catatan. Dalam beberapa sajak prosa yang dinilai, puisi ini mengambil tubuh bentuk yang baik dan faham akan bentuk yang dipilihnya. Temanya sederhana, romantis dan mempunyai serampang makna antara perkasihan dan penulisan. Aliran pengisahan mengalir lancar sedari awal sehingga akhir. Perlambangan antara perkasihan dan penulisan saling melompat dan dikawal baik.

Pemilihan katanya meski ada warisan dari penyair mapan seperti “kejora, “bulan”, ”temaram” tetapi dipercikkan dengan penyandingan kata yang baik sehingga menghilangkan kelesuan. Bahasanya didandan sederhana, tidak berlebihan hiperbola, ada percubaan ungkapan segar yang menjadi seperti “memanjat alis bukan pada waktu kebiasaan”, “beberapa babak romantis melompat keluar dari kitab petualangan”.

Meskipun begitu, sisa pengaruh puisi Indonesia membekas dalam beberapa baris sajaknya.

Manakala sajak Teluk Kumbar – selepas Anis Mojgani yang mengajuk tokoh penyair Anis Mojgani tampil sederhana, terkawal, permainan pengulangan yang menjadi dan menyentuh. Penulis memerikan warna pasir seperti gula, percubaan keluar dari kelesuan bari dan ibarat yang telah dibancuh oleh penyair terdahulunya. Permainan bunyi menjadi kekuatan sajak ini. Perkaitan antara pantai kepada laut kepada angin kepada udara kepada penyair mewarisi bentuk mantera yang berulang-ulang dan memberikan getaran pembacaan.

Manakala sajak Mata wang merupakan sajak yang terpelihara dari bentuknya yang konvensional, tema kritik sosial dan dipancung dengan persoalan tajam. Ungkapan yang memikat seperti “gunung purba yang menidurkan api”, “memilih saku lebih lebar dari baju”, “tetap namamu berbintik terawet wang sogokan”. Teknik persajakan seperti simile dan personifikasi digunakan dalam ruang yang tepat dan tidak diletakkan melulu tanpa konteks sewajarnya.

Kami panel juri ingin memberikan kredit kepada pihak Selangorkini, Kerajaan Negeri dan para editor yang bertungkus-lumus membangunkan karya sastera, fiksi dan non fiksi, tanpa sebarang prejudis. Kami juga bersepakat menganjurkan pihak Selangorkini untuk terus mengasuh pengarang-pengarang sedia ada dengan program berbentuk bengkel agar kualiti kerja para sasterawan masa hadapan ini semakin membaik.

Semoga usaha berterusan ini akan diberi terus diberi perhatian dan sokongan.


Pengarang :