Keadaan di unit rawatan rapi (ICU) di salah sebuah hospital kerajaan yang merawat pesakit Covid-19. Foto Facebook Noor Hisham Abdullah
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Katil hospital Shah Alam, Klang ditambah, mobilisasi petugas kesihatan

SHAH ALAM, 8 JULAI: Semua hospital di Selangor menerima peningkatan kes Covid-19 yang tinggi terutama melibatkan pesakit kategori tiga dan ke atas secara berterusan sejak akhir bulan lalu, kata Pengarah Kesihatan Selangor Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.

Susulan itu, beliau berkata pihaknya sedang melakukan penambahan bilangan katil melalui pengaktifan hospital medan di Hospital Tuanku Mizan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan perolehan darurat peralatan perubatan di peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS).

“Mobilisasi kakitangan kesihatan luar dari Lembah Klang turut dijalankan bagi membantu situasi Covid-19 meliputi pegawai perubatan, jururawat dan penolong pegawai perubatan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook JKNS, hari ini

Dr Sha’ari menerangkan status semasa keadaan hospital di Selangor susulan viral gambar keadaan jabatan kecemasan di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang dan Hospital Shah Alam.

Dalam pada itu, Dr Sha’ari menjelaskan bahawa peningkatan kemasukan pesakit akut di jabatan kecemasan Hospital Shah Alam berlaku susulan hospital tersebut kini dijadikan hospital berpakar major bukan Covid-19 yang memberi rawatan akut pesakit bukan Covid-19 sekitar daerah Petaling.

“Bagi HTAR Klang pula, kebanyakan pesakit telah dirawat terlebih dahulu di jabatan kecemasan sementara menunggu katil di wad. Oleh itu, pertambahan katil terpaksa dilakukan di luar jabatan kecemasan HTAR untuk sementara.

“Pihak HTAR dan Hospital Shah Alam dalam proses menambah kapasiti katil di hospital masing-masing,” katanya.

Petang tadi, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam kenyataan hari ini mengumumkan sebuah lagi hospital medan (ATM) akan diwujudkan di HTAR  berikutan situasi semasa jangkitan Covid-19 di Selangor yang semakin meningkat.

— BERNAMA

 


Pengarang :