Anggota tentera memasang kawat duri sekitar kawasan Taman Bukit Angkasa ketika tinjauan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang dilaksanakan di lokaliti tersebut berkuat kuasa pada 1 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kawalan ketat di kediaman pekerja industri sekitar Lembah Klang

SHAH ALAM, 1 JULAI: Kerajaan akan mengetatkan kawalan pergerakan di Lembah Klang setelah mengenal pasti kawasan industri dan penginapan pekerja yang berpotensi merebak Covid-19 dengan meluas.

Jawatankuasa Koordinasi Pematuhan SOP PKP Covid-19 (JKPS) akan bekerjasama dengan Kerajaan Selangor dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), kata menteri dalam negeri.

“Bagi mengetatkan kawalan pergerakan di negeri tersebut, mesyuarat JKPS menerima pemetaan kawasan perindustrian dan penginapan pekerja yang mempunyai potensi tinggi penularan Covid-19.

“(Pemetaan) hasil kerjasama dengan pihak Kerajaan Selangor dan DBKL,” kata Datuk Seri Hamzah Zainudin dalam kenyataan.

Beliau berkata pelaksanaan Op Patuh mulai esok turut mengambil kira maklumat kawasan tersebut dalam melaksanakan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa.

Jelas Hamzah, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar tatacara operasi piawai (SOP) bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

JKPS memutuskan untuk melaksanakan Op Patuh secara besar-besaran dan bersepadu di seluruh negara bermula esok membabitkan strategi lebih drastik dan pemeriksaan ketat.

Operasi terbabit bakal diketuai ketua polis daerah bersama anggota penguat kuasa dari jabatan atau agensi yang lain.


Pengarang :