Selangorkini
Penerima suntikan vaksin Covid-19 hadir di pusat pemberian vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) Shah Alam yang dibuka semula pada hari ini setelah ditutup selama sehari berikutan penularan kes Covid-19 dalam kalangan petugas pada 14 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDA NASIONAL

KEADILAN sangkal tuduhan Pemuda PAS, Selangor giat percepat suntikan vaksin

SHAH ALAM, 17 JULAI: Kerajaan Selangor tidak sesekali bermain politik dalam isu suntikan vaksin sebaliknya mengambil pelbagai langkah termasuk membeli vaksin dan melaksanakan program Vaksin Selangor (Selvax).

Pengarah komunikasi KEADILAN negeri juga menegaskan Kerajaan Negeri tidak pernah berpeluk tubuh, malah langkah untuk mendapatkan bekalan sendiri dibuat sejak Januari lagi.

Menolak dakwaan Dewan Pemuda PAS Selangor, Saifuddin Shafi mengingatkan kerajaan persekutuan melalui Jawatankuasa Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 bertanggungjawab mengurus bekalan vaksin.

Beliau juga menjelaskan Selvax bertujuan melengkapi usaha kerajaan persekutuan melalui Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan bagi mempercepat pemberian vaksin kepada penduduk.

“Usaha ini sahaja menunjukkan bahawa tuduhan Dewan Pemuda PAS Selangor jauh meleset,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Selangor Hanapi Zulkapli menuduh Kerajaan Selangor bermain politik dalam isu suntikan vaksin berikutan peratusan dicapai Selangor hanya 75.6 peratus setakat 13 Julai.

Saifuddin sebaliknya berkata KEADILAN Selangor turut mempersoal kesahihan angka suntikan vaksin kononnya “ada negeri lain yang telah mencapai 90 peratus” yang dipetik Dewan Pemuda PAS.

Menyifatkan dakwaan itu meleset, beliau meminta timbalan menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi yang juga ahli parlimen PAS supaya berkongsi angka sebenar kepada Dewan Pemuda itu.

“Malah, seharusnya juga timbalan menteri Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi berkongsi angka-angka yang tepat kepada Dewan Pemuda PAS Selangor sebelum membuat tuduhan melulu begini,” katanya.


Pengarang :