Seorang petugas kesihatan lengkap berpakaian sut pelindung diri (PPE) membantu orang ramai yang hadir di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati Shah Alam ketika tinjauan Selangorkini pada 17 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDANASIONAL

Keliru ketika berurusan punca pengunjung menunggu lama di CAC Stadium Malawati

SHAH ALAM, 17 JULAI: Seorang suri rumah sanggup menunggu dua jam awal untuk memotong gelang kuarantin di Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) Stadium Malawati walaupun kaunter dibuka jam 9 pagi.

Lina Salleh, 56 berkata dia bersama anaknya datang awal bagi mengelak berlaku kesesakan namun tidak menyangka perlu beratur panjang dan mengambil masa yang agak lama.

Lina Salleh.

“Saya datang tadi pukul 7 pagi dan ini baru selesai setengah jam tadi kira-kira 11.30 pagi. Penat, menggigil badan sebab beratur lama,” katanya yang mendakwa mendapat jangkitan dari anaknya yang keluar bekerja.

Pemandu peribadi, Mohamad Nasarudin Mohd Azmi, 26, pula berkata dari jam 8 pagi sehingga jam 11.30 pagi dia masih lagi menunggu ibunya yang beratur bagi dinilai tahap kesihatan selepas didapati positif Covid-19.

Mohamad Nasarudin Mohd Azmi.

“Ini pun saya tanya tadi dia baru dekat tengah-tengah belum masuk dalam lagi, mungkin jam 2 petang baru siap,” katanya yang tidak pasti bagaimana ibunya dijangkiti Covid-19 sedangkan tidak keluar rumah, manakala beliau dan bapanya didapati negatif ketika disaring.

V Somasundaran, 42, berkata dia menemani isterinya yang positif Covid-19 bagi dibuat penilaian selepas beberapa rakan sekerja di pasar raya dijangkiti wabak.

V Somasundran.

Katanya, ini kali pertama mereka ke CAC berkenaan dan keliru untuk berurusan buat kali pertama kerana tidak mendapat maklumat yang jelas.

“Dia tersalah beratur tadi nasib baik ada yang beritahu jika tidak mesti kena tunggu lama. Saya harap petugas dapat maklum lebih kerap bagi mengelak orang ramai dari tersilap,” katanya.


Pengarang :