Sebahagian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tekun menjawab peperiksaan kertas Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu pada 18 November 2009. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keputusan SMA 2020 Selangor turun 1.2 peratus

SHAH ALAM, 9 JULAI: Keputusan peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) 2020 di Selangor menunjukkan penurunan 1.2 peratus dengan pencapaian 95.2 peratus berbanding 96.4 peratus pada 2019.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) berkata pencapaian cemerlang direkodkan bagi kategori Sekolah Agama Menengah Negeri Selangor dengan kelulusan 97.5 peratus walaupun menurun 0.9 peratus berbanding 98.4 peratus pada tahun lalu.

Dato’ Mohd Shahzihan Ahmad menjelaskan empat Maahad Integrasi Tahfiz Selangor kekal merekod kelulusan cemerlang 100 peratus manakala Sekolah Menengah Islam Persendirian menurun kepada 79.9 peratus berbanding 82.9 peratus pada 2019.

“Alhamdulillah, sukacita diumumkan keputusan keseluruhan bagi peperiksaan Sijil Menengah Agama Tahfiz Al-Quran kekal cemerlang 100 peratus serta Sijil Menengah Agama Turath dan Dakwah cemerlang 91.7 peratus,” katanya ketika mengumumkan keputusan tersebut secara maya hari ini.

Beliau berkata daripada 2,925 calon yang menduduki SMA tahun lalu, seramai 348 calon memperoleh keputusan Mumtaz iaitu menurun 15.8 peratus berbanding 888 pada 2019; Jayyid Jiddan (860); Jayyid (832) dan Maqbul (754).

“Hanya 4.5 peratus atau 134 calon yang belum mencapai tahap minimum kelulusan (Musaadah) dan memerlukan bimbingan berterusan.

“Marilah kita meningkatkan usaha dan berdoa agar dapat mencapai kelulusan 100 peratus dengan sifar Musaadah dalam peperiksaan akan datang,” katanya.


Pengarang :