Sebahagian calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tekun menjawab peperiksaan kertas Bahasa Melayu 1 di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malik, Kuala Terengganu pada 18 November 2009. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Keputusan tawaran ke tingkatan enam diumum Isnin depan

PUTRAJAYA, 2 JULAI: Keputusan tawaran kemasukan ke tingkatan enam bagi 2021 akan diumumkan Isnin ini (5 Julai), menurut Kementerian Pendidikan (KPM).

KPM memberitahu, murid lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 boleh membuat semakan keputusan tawaran dan pendaftaran mulai 5 hingga 15 Julai secara dalam talian menerusi Portal Aplikasi Dalam Talian Tingkatan Enam di pautan https://sst6.moe.gov.my/.

“Bagi murid lepasan SPM tahun 2020 yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan tawaran dan membantu proses pendaftaran,” menurut KPM dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, murid lepasan SPM 2020 yang memenuhi syarat kemasukan ke tingkatan enam tetapi tidak menerima tawaran, permohonan rayuan boleh dibuat secara dalam talian menerusi pautan https://sst6.moe.gov.my/.

“Bagi murid lepasan SPM tahun 2020 yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan membantu menguruskan rayuan murid,” menurut KPM.

KPM memaklumkan yang tempoh rayuan adalah mulai 5 hingga 15 Julai ini dan keputusan permohonan rayuan kemasukan ke tingkatan enam semester 1 akan dimaklumkan pada 20 Julai melalui portal yang sama.

Bagi murid yang tidak mempunyai capaian Internet, pihak sekolah akan memaklumkan keputusan permohonan rayuan pada tarikh yang sama.

Sesi pengajian bagi tingkatan enam semester 1 tahun 2021 akan bermula 25 Julai bagi sekolah dalam negeri kumpulan A dan 26 Julai bagi sekolah dalam negeri kumpulan B.

Kumpulan A adalah sekolah-sekolah di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu manakala kumpulan B sekolah-sekolah di Perlis, Pulau Pinang, Perak, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Pahang, Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

-BERNAMA


Pengarang :