Salah seorang pasangan kakitangan Media Selangor, Siti Mariam Mustama selepas menerima vaksin dalam program Vaksin Selangor (Selvax) Industri di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall, Petaling Jaya pada 20 Julai 2021.
AGENDANASIONAL

Kerajaan nafi keluar kad fizikal individu lengkap dos vaksin

SHAH ALAM, 24 JULAI: Penggunaan kad fizikal bercetak yang dijual di pasaran bagi individu yang lengkap menerima vaksin Covid-19 seperti yang tular di media sosial adalah tidak benar.

Pasukan Respon Pantas Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) berkata kad fizikal tersebut tidak diiktiraf kerajaan atau diterima sebagai bukti seseorang individu telah melengkapkan dos suntikan.

Katanya, buat masa ini pengeluaran ‘MY Covid-19 Vaccination Badge’ masih menunggu kelulusan daripada Kabinet.

“Sebaliknya, ketika ini hanya mengguna pakai sijil digital di aplikasi MySejahtera dan kad vaksinasi diterima oleh individu di pusat pemberian vaksin (PPV).

“Orang ramai disaran sentiasa merujuk laman sesawang dan media sosial rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin Covid-19 (JKJAV) untuk mendapatkan maklumat terkini yang sahih,” katanya menerusi kenyataan.

Hari ini tular di media sosial video selama 1.14 minit yang memaparkan seorang wanita mendakwa kad berkenaan dicetak dari MySejahtera dengan butiran lengkap penerima vaksin merangkumi nama, tarikh menerima vaksin dan jenis vaksin yang diterima.


Pengarang :