Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Setia Halimey Abu Bakar bersama ADN Kampung Tunku Lim Yi Wei mengagihkan bantuan makanan kepada penduduk di Mentari Court, Petaling Jaya pada 5 Julai 2021. Foto Facebook Halimey Abu Bakar
BERITA UTAMASELANGOR

Kerajaan Negeri agih bantuan makanan kepada penduduk Mentari Court

SHAH ALAM, 6 JULAI: Kerajaan Selangor melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 1 Julai lalu.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata antaranya memberi bakul makanan kepada mereka bagi memastikan tidak terputus bekalan.

“Bekalan makanan diagih kepada 3,500 penduduk di sini. Kemungkinan kita akan tambah lagi bantuan bergantung kepada keperluan penduduk,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi sidang media selepas membuat lawatan program pemberian vaksin kepada penduduk di Pangsapuri Mentari Court PJS 8 di sini, semalam.

Agihan bakul makanan itu dibuat oleh petugas daripada pelbagai agensi antaranya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pejabat Daerah dan Tanah Petaling, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Sebelum itu, Amirudin meluangkan masa meninjau program pemberian vaksin kepada 1,553 penduduk di situ yang dikenakan PKPD selama 14 hari mulai 1 Julai.

Penduduk Mentari Court menjadi kumpulan pertama dalam negeri ini menerima vaksin dalam kawasan PKPD melalui inisiatif PKD Petaling.


Pengarang :