AGENDANASIONAL

Kerajaan sedia adakan sidang Parlimen sebelum 1 Ogos

SHAH ALAM, 2 JULAI: Perdana menteri memutuskan untuk memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri berkata perkara itu akan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu ini.

“Kerajaan persekutuan sentiasa menjunjung titah pandangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam semua hal berkaitan pemerintahan negara termasuklah berhubung persidangan Parlimen.

“Sehubungan itu, perdana menteri selaku Ketua Majlis Parlimen memutuskan akan memanggil sidang Parlimen secepat mungkin sebelum 1 Ogos 2021,” kata Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan selepas Pakatan Harapan (PAKATAN) menggesa semua wakil rakyat termasuk kerajaan untuk ke Parlimen pada 19 Julai jika kerajaan tidak mengumumkan tarikh bersidang.

Gabungan itu berkata tindakan tersebut akan dibuat jika perdana menteri tidak mengumumkan tarikh persidangan Parlimen selewat-lewatnya pada Isnin ini.

Pada 16 Jun, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong menitahkan Dewan Rakyat harus bersidang “secepat mungkin” untuk membincangkan pelbagai isu berkaitan Covid-19.

Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali lagi menzahirkan pandangan sama ketika menerima menghadap speaker Dewan Negara dan Dewan Rakyat pada 29 Jun.


Pengarang :