Gambar diambil menggunakan dron menunjukkan ada aktiviti pembinaan di tapak projek perumahan yang tidak termasuk dalam kerja kritikal sepanjang PKP di Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 2 Jun 2021. Foto CIDB Selangor
AGENDANASIONAL

Kerja pembinaan di kawasan PKPD di Selangor, KL dihenti

KUALA LUMPUR, 3 JULAI: Selaras dengan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di beberapa mukim dan lokaliti di Selangor dan Kuala Lumpur hari ini, semua kerja pembinaan dan yang berkaitan di kawasan berkenaan kini perlu dihentikan.

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ini bermakna surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) yang sebelum ini diterima bagi membolehkan kerja-kerja pembinaan itu diteruskan sepanjang tempoh PKPD, kini tidak boleh digunakan lagi.

Bagaimanapun beliau berkata pengecualian diberikan kepada kerja-kerja penyelenggaraan, pembaikan dan pendawaian yang bersifat kritikal berdasarkan janji temu.

“Bagi menjalankan kerja-kerja (yang diberikan pengecualian), pihak terlibat boleh mendapatkan kebenaran dari balai polis terdekat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadillah menggesa semua penggiat industri pembinaan untuk mematuhi arahan kerja semasa dan tatacara operasi piawai (SOP) yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memastikan penurunan kes Covid-19 di kawasan terlibat.

Katanya SOP terkini boleh dirujuk di laman sesawang MKN, manakala SOP serta garis panduan industri boleh didapati menerusi Telegram dan laman sesawang rasmi Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) atau menghubungi talian 03-55673300.

Pada 1 Julai lepas, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan PKPD di lapan daerah di Selangor melibatkan Petaling, Hulu Langat, Sepang, Gombak, Kuala Langat, Klang, Kuala Selangor dan Hulu Selangor selain 14 lokaliti di Kuala Lumpur bermula hari ini hingga 16 Julai.

-BERNAMA


Pengarang :