Orang ramai beratur untuk mendaftar bagi mendapat suntikan pelalian bawah program Vaksin Selangor (Selvax) anjuran DUN Bukit Gasing, Kampung Tunku, Bandar Utama dan Bukit Lanjan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Tropicana Gardens Mall pada 30 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Kerjasama PICK, Selvax mampu capai imuniti kelompok kurang dari sebulan

SHAH ALAM 31 JULAI: Selangor mampu mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang dari sebulan susulan kerjasama Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) dan Vaksin Selangor (Selvax).

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata 65.5 peratus daripada orang dewasa di Selangor telah menerima suntikan dos pertama setakat hari ini.

“Berasaskan kapasiti setakat ini, Kerajaan Negeri yakin bahawa kerjasama bersepadu di antara Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) serta tambahan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dapat membawa warga Selangor mencapai imuniti kelompok dalam masa kurang dari sebulan.

“Justeru, program Selvax Komuniti yang sedang berlangsung diteruskan hingga 11 Ogos sebagai salah satu strategi Kerajaan Selangor untuk menampung dan mempercepat pelaksanaan PICK,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Terdahulu, Amirudin mempengerusikan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) membincangkan cara mempercepatkan imunisasi rakyat Selangor bagi melindungi mereka dari wabak Covid-19.

Setakat hari ini seramai 1.17 juta atau 24.7 peratus rakyat negeri ini lengkap menerima dua dos vaksin.

Sejumlah 4.28 juta dos diberi kepada rakyat negeri ini menerusi PICK manakala 176,837 dos disuntik menerusi program Selvax.

Pada 9 Julai, Amirudin yakin Selangor mampu beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini.


Pengarang :