Petugas kesihatan memakai kelengkapan alat perlindungan diri (PPE) ketika memberi rawatan kepada pesakit Covid-19 di Unit Rawaan Rapi Hybrid Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang pada 11 Julai 2021. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Kes pesakit Covid-19 kritikal, perlu bantuan pernafasan naik sekali ganda

SHAH ALAM, 20 JULAI: Jumlah kes baharu positif Covid-19 kategori lima iaitu kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan meningkat sekali ganda kepada 52 kes berbanding 26 semalam.

Ketua pengarah kesihatan menerusi kenyataan memaklumkan namun hanya 1.5 peratus atau 178 daripada 12,366 kes dilaporkan hari ini berada dalam kategori tiga, empat dan lima.

“Meskipun peratusan kes kategori tiga hingga lima adalah tidak tinggi, namun harus diambil perhatian bahawa kes kategori lima memerlukan purata tempoh jagaan di unit rawatan rapi (ICU) selama 21 hari,” kata Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Pesakit kategori empat (bantuan pernafasan) memerlukan purata tempoh jagaan di ICU selama 14 hari manakala kategori tiga (radang paru-paru) memerlukan penjagaan dan pemerhatian di hospital terutama yang berisiko tinggi.

Jumlah jangkitan baharu Covid-19 meningkat semula kepada 12,366 hari ini berbanding 10,972 semalam.

Jumlah di Selangor meningkat kepada 5,524 kes selepas empat hari berturut-turut menurun kepada 4,404 semalam.


Pengarang :