Seorang penduduk menerima suntikan vaksin Covid-19 di Taman Murni, Sepang yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) pada 9 Julai 2021. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/SELANGOR KINI
AGENDANASIONAL

Kes sporadik boleh dikenal pasti dengan sistem berkesan, teknologi

SHAH ALAM, 27 JULAI: Kes sporadik yang menjadi punca peningkatan mendadak jangkitan Covid-19 boleh dikesan sekiranya Malaysia mempunyai kaedah pengesanan kontak berkesan.

Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad (PH-Kuala Selangor) berkata pada masa ini pihak berkuasa tidak dapat mengikuti rangkaian penularannya.

“Itulah peranan pengesanan kontak, sangat penting kalau hanya berpandukan separa manual atau manual sepenuhnya, minta maaf MySejahtera hanya satu aplikasi imbasan QR sahaja.

“Kunci kejayaan negara seperti Singapura yang menggunakan Bluetooth, kesan semuanya…Taiwan, Korea Selatan terkait soal pengesanan kontak pantas bukan meletakkan pegawai pusat kesihatan daerah untuk membuat ratusan panggilan sehari,” katanya.

Bekas menteri kesihatan itu berkata demikian ketika berbahas pada hari kedua Mesyuarat Khas Parlimen hari ini.

Dr Dzulkefly yang juga Pengerusi Pasukan Petugas Pencegahan Covid-19 Selangor (STFC) melahirkan kekecewaan apabila kerajaan pusat tidak berkongsi data yang penting bagi memerangi wabak itu.

“Begitu juga kami di Selangor, apabila menjalankan kegiatan kecerdasan buatan (AI) untuk belajar pergerakan (wabak), datanya tiada.

“Apabila tiada perkongsian itu kamu hendak kami bertempur, kamu menolak kami ke gelanggang tetapi kamu membutakan mata kami dan mengikat tangan kami di belakang,” katanya.


Pengarang :