Ketua pasukan Selangor FC Brendan Gan. Foto Facebook Brendan Gan
AGENDANASIONAL

Ketua pasukan Selangor FC hidap barah testis

SHAH ALAM, 26 JULAI: Ketua pasukan Selangor FC yang juga pemain tengah Harimau Malaya, Brendan Gan disahkan menghidap barah testis.

Perkara itu dimaklum beliau menerusi Facebook hari ini yang mendapat perhatian lebih 3,000 warga media sosial yang mendoakannya selain meninggalkan tanda suka.

“Saya telah disahkan menghidap barah testis, telah menjalani pembedahan dan akan menghadapi proses rawatan seterusnya tidak lama lagi,” tulisnya.

Brendan turut bersyukur kerana orang di sekelilingnya termasuk isteri dan pasukan banyak memberi semangat dan motivasi kepadanya agar segera sembuh.

“Barah tidak menentukan hidup saya, hanya jalan indah yang akan saya lalui dan kembali kepada kehidupan normal seperti sebelum ini,” katanya.

Kali terakhir Brendan beraksi secara kompetitif ketika membantu skuad Harimau Malaya mengharungi cabaran pusingan kedua kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada bulan lepas.

Namanya turut tidak berada dalam senarai pemain skuad Selangor FC yang turun berdepan Kuala Lumpur City FC pada aksi Liga Super yang kembali berlangsung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Sabtu lepas.


Pengarang :