Anggota penguat kuasa Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) dan polis menjalankan operasi bersepadu pematuhan tatacara operasi piawai (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) di Taman Perindustrian Subang pada 7 Julai 2021. Foto MBSJ
PBTSELANGOR

Kilang barang dobi beroperasi tanpa lesen, langgar SOP dikompaun

SHAH ALAM, 11 JULAI: Sebuah kilang pembekal barangan dobi di Taman Perindustrian Subang diberi dua notis tawaran kompaun kerana beroperasi tanpa lesen serta tiada permit pejabat urusan.

Tindakan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian MPSJ 2007 dibuat semasa operasi bersepadu dijalankan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) pada 7 Julai.

Timbalan pengarah Jabatan Korporat dan Pengurusan Strategik MBSJ berkata polis turut mengeluarkan kompaun RM10,000 kepada pemilik premis kerana tidak mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) Pelan Pemulihan Negara.

“Di bawah bidang kuasa polis, kompaun pelanggaran dikeluarkan atas kesalahan premis beroperasi tanpa surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti),” kata Azfarizal Abdul Rashid dalam kenyataan semalam.

Beliau mengingatkan orang ramai serta pengusaha kilang terus mematuhi peraturan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan SOP kerajaan bagi mengekang penularan Covid-19.

“Pemantauan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa dan tindakan sewajarnya akan diambil sekiranya berlaku sebarang ketidakpatuhan SOP ditetapkan dalam usaha pencegahan serta pengawalan pandemik,” katanya.

 


Pengarang :