Kit kesihatan bernilai RM200 disediakan Kerajaan Negeri untuk kegunaan pesakit yang kuarantin di rumah. Selain panduan, ia mengandungi alat pengukur kandungan oksigen, ubat dan jangka suhu. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Kit kesihatan mudah diguna, bantu pesakit kuarantin di rumah

SHAH ALAM, 2 JULAI: Pesakit Covid-19 menyifatkan kit penilaian di rumah yang dibekal Kerajaan Negeri memudahkan mereka memantau tahap kesihatan sepanjang tempoh kuarantin.

Pekerja swasta Mohd Faezuan Mohd Izan, 34, memantau bacaan oksigen tiga kali setiap hari menggunakan oximeter bagi memastikan kandungannya tidak kurang 95 peratus, tahap normal seseorang.

Mohd Faezuan Mohd Izan

“Kit ini senang digunakan untuk pantau kandungan oksigen secara harian. Penggunaannya tiga kali sehari,” katanya yang dijangka menyelesaikan kuarantin pada 29 Jun kepada Selangorkini.

Beliau disahkan positif bersama tiga anak berusia enam hingga 11 tahun selepas menjalani Saringan Komuniti fasa tiga di Gombak pada 20 Jun. Sebelum ini, isterinya dikesan positif dalam saringan awal di klinik swasta.

Kit bernilai kira-kira RM200 memuatkan ubat-ubatan, jangka suhu, pelitup muka dan oximeter iaitu pengukur kandungan oksigen dalam tubuh.

Suri rumah Rohani Mohd Jelani, 31, pula menggunakan kit itu selama dua hari bersama suami sebelum mereka dibawa ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Serdang pada 22 Jun.

“Kita periksa (kandungan oksigen) dengan letakkan jari pada oximeter. Mereka (petugas kesihatan) juga ajar kalau demam baru guna oximeter,” kata ibu kepada dua anak yang dikesan positif selepas menjalani saringan percuma di Gombak.

Pekerja binaan Jusuf Suleiman, 33, pula awalnya tidak mahir menggunakan oximeter sebelum dibantu isterinya dan sempat menggunakannya dua kali sebelum dibawa ke PKRC Serdang.

Jusuf Suleiman

“Saya rasa penggunaannya mudah. Mulanya saya tidak tahu cara guna oximeter tetapi lepas isteri ajar rupa-rupanya mudah,” kata bapa kepada dua cahaya mata.

Selain beliau, isteri, anak berusia tujuh tahun, ibu mentua dan adik ipar turut dikesan positif dalam saringan anjuran Kerajaan Negeri.

Menerusi Pakej Kita Selangor 2.0, peruntukan RM1.25 juta disediakan bagi membekal kit berkenaan kepada inidividu yang dikesan positif dalam Saringan Komuniti.


Pengarang :