Seorang penunggang motosikal mematuhi tatacara operasi piawai (SOP) dengan memakai pelitup muka ketika tinjauan sekitar Kuala Lumpur pada 2 Februari 2021. Foto REUTERS
AGENDANASIONAL

KKM: Pembatalan Ordinan Darurat tidak jejas Akta 342

PUTRAJAYA, 30 JULAI: Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharan Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelanjutan Kuat Kuasa) (No.2) 2021 (P.U. (A) 313/2021) yang diwartakan pada 21 Julai lepas adalah berbeza dengan Proklamasi Darurat, demikian menurut Kementerian Kesihatan (KKM).

Menerusi kenyataan hari ini, KKM berkata perintah itu dibuat di bawah subseksyen 11(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) yang memberi kuasa kepada Menteri Kesihatan untuk mengisytiharkan mana-mana kawasan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

“Perintah itu bertujuan melanjutkan pengisytiharan kawasan tempatan jangkitan yang berkuat kuasa 18 Mac 2020 dan dilanjutkan bagi tempoh 2 Ogos hingga 31 Disember 2021,” menurut kenyataan itu.

KKM berkata melalui perintah itu, pelaksanaan undang-undang boleh diambil melalui arahan pegawai diberi kuasa untuk mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

Perintah itu juga berkuat kuasa bersama dengan peraturan-peraturan di bawah subseksyen 11(2) untuk membolehkan kerajaan menguatkuasakan antaranya Arahan Ketua Pengarah dan Peraturan-Peraturan mengenai Pelan Pemulihan Negara, kata KKM.

Perintah itu dikuat kuasa bagi tempoh 1 April 2021 hingga 1 Ogos 2021 yang menetapkan semua negeri dan Wilayah Persekutuan sebagai kawasan tempatan jangkitan.

Mengenai Proklamasi Darurat pula, KKM berkata ia dibuat di bawah Perkara 150 Perlembagan Persekutuan yang membolehkan Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan suatu darurat besar sedang berlaku di seluruh negara mulai 11 Januari 2021 hingga 1 Ogos 2021.

Menurut KKM, sebarang pembatalan Ordinan Darurat yang dibuat ketika darurat tidak menjejaskan penguatkuasaan Akta 342 sedia ada yang dikuatkuasakan bagi mencegah dan mengawal penyakit berjangkit.

“Semua pihak diminta agar tidak membuat tafsiran sendiri mengenai perintah ini bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan masyarakat,” kata KKM.

-BERNAMA


Pengarang :